
KUALA LUMPUR - Pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara semalam membuktikan bahawa Badan Kehakiman Malaysia masih berfungsi.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, keputusan berkenaan yang menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim jelas menunjukkan kewujudan konsep semak dan imbang.
Menurut beliau, suara rakyat melalui saluran seperti Majlis Peguam dan badan sivil masih memberi impak yang tinggi.
“Buat pertama kali dalam sejarah pelantikan Ketua Hakim Negara, seluruh prosesnya dilihat dan diperhalusi secara terbuka.
“Daripada saringan JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman), pengesyoran PM, perbincangan Majlis Raja-Raja, sehinggalah perkenan Agong, semuanya berlangsung dalam radar rakyat,” katanya.

Jelas Liyana, apa yang lebih penting ialah pengumuman dibuat secara rasmi oleh Istana dan Majlis Raja-Raja.
“(Pengumuman ini) Bukan bocor. Bukan bisik-bisik. Tapi diumumkan dengan penuh tertib.
“Dulu, kita pernah dengar bagaimana pelantikan kehakiman dilakukan secara senyap. Tetiba keluar sudah nama. Apah (apa) pun sebelum itu kita tak tahu mengenainya,” katanya, sinis.
Bukti mengenai perkara itu tegas beliau, boleh dibaca dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan kes Datuk V K Linggam.
“Hari ini, keadaan berbeza.
“Jika benar wujud tekanan atau percubaan campur tangan sebelum ini, sudah jadi akademik,” tegasnya.
Liyana yang kini bergelar aktivis bagaimanapun berkata, kebimbangan mengenai institusi kehakiman tetap wujud kerana Wan Farid sebelum ini pernah menyandang portfolio Timbalan Menteri Dalam Negeri.
“(Beliau) Pernah bertanding atas tiket UMNO, dan pernah menarik diri dari mendengar kes berkaitan DS (Datuk Seri) Najib.
“Kini beliau memegang jawatan kehakiman tertinggi negara. Maka, apabila ada pengkritik menyuarakan soal potensi kecenderungan terhadap UMNO, itu bukan tuduhan liar. Itu isyarat untuk kekal peka,” katanya.
Pelantikan Wan Ahmad Farid diumumkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia tengah malam semalam.
Menurut pengumuman, Seri Paduka membuat keputusan tersebut atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, baginda juga memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.
Datuk Azizah Nawawi pula dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak bagi menggantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak yang bakal bersara. - Getaran, 18 Julai 2025
