Pelantikan Wan Suraya dipersoal oleh Ahli Parlimen didakwa langgar Perlembagaan

LocalPolitics
23 Jul 2025 • 5:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelantikan Wan Suraya dipersoal oleh Ahli Parlimen didakwa langgar Perlembagaan

image is not available

23/07/2025 - 17:36

Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR 27 Julai - Dewan Rakyat hari ini menyaksikan pertikaman lidah apabila Ahli-ahli Parlimen pembangkang membangkitkan kebimbangan berhubung isu perlembagaan mengenai pelantikan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2 yang baru dibentangkan.

Ketua whip pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhujah, status Wan Suraya sebagai penjawat awam melanggar Perlembagaan Persekutuan dan mencadangkan kedudukan dua status beliau boleh membatalkan sebarang laporan rasmi yang dikeluarkan di bawah bidang kuasanya.

Beliau merujuk kepada Perkara 105 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan, imbuhan jawatan tersebut hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan bagi memastikan kebebasan pejabat berkenaan.

Ini bermakna gaji Ketua Audit Negara dibayar terus daripada dana tersebut dan tidak tertakluk kepada budi bicara eksekutif atau perbahasan serta undian tahunan di Parlimen yang boleh digunakan untuk memberi tekanan atau mempengaruhi pemegang jawatan itu.

“Jika pelantikan itu tidak sah, maka pada pandangan saya, sebarang tugas yang dilaksanakan oleh beliau — termasuk pengeluaran Laporan Ketua Audit Negara — boleh dianggap tidak sah,” kata bekas Menteri Undang-Undang itu semasa perbahasan laporan berkenaan di Dewan Rakyat.

Wan Suraya telah dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada 12 Jun 2023, menggantikan Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia dan masih disenaraikan sebagai pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang ditempatkan di institut tersebut.

Takiyuddin menggesa kerajaan untuk menjelaskan kesahan perlembagaan mengenai pelantikan seorang penjawat awam yang sedang berkhidmat ke jawatan tersebut dan sama ada ia menjejaskan kebebasan institusi Ketua Audit Negara, lapor The Edge.

Dalam mempertahankan pelantikan itu, Ahli Parlimen kerajaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menegaskan, proses pelantikan telah mematuhi kehendak perlembagaan, termasuk mendapat perkenan diraja dan nasihat daripada Perdana Meteri.

Di bawah Perkara 105(1) Perlembagaan Persekutuan, Ketua Audit Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Tze Tzin turut mempersoalkan masa bantahan yang dikemukakan pembangkang, memandangkan ia dibangkitkan lebih setahun selepas pelantikan Wan Suraya dan selepas empat laporan audit dikeluarkan di bawah pentadbiran beliau.

Beliau turut merujuk kepada satu lagi kes terdahulu: pelantikan Allahyarham Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil, yang juga merupakan penjawat awam ketika dilantik sebagai Ketua Audit Negara.

Sementara itu, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyatakan,semua Ketua Audit Negara sebelum ini dilantik selepas bersara bagi mengekalkan kebebasan institusi tersebut.

“Adakah pelantikan (Wan Suraya) memenuhi kriteria seorang Ketua Audit Negara yang seharusnya bebas daripada campur tangan mana-mana pihak, termasuk eksekutif?” soal beliau.

Seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) turut membangkitkan isu yang dilihat sebagai penghakisan terhadap kebebasan Jabatan Audit Negara.

Beliau merujuk kepada penglibatan jabatan tersebut dalam inisiatif libat urus awam seperti Santuni Madani, dan berhujah bahawa penglibatan sedemikian boleh membawa kepada "perangkap advokasi dan semakan kendiri".

Perbahasan hangat itu tercetus susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2 pada Isnin, yang membangkitkan pelbagai ketidakaturan serius dalam perbelanjaan kerajaan antara 2020 hingga 2024.

Antara isu utama yang dibangkitkan melibatkan projek dan program berjumlah lebih RM48 bilion, termasuk transaksi tanah oleh Felcra Bhd, perolehan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta kontrak pertahanan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - DagangNews.com

featured standard