Pelarasan gaji 15% kepada kumpulan pelaksana, pegawai, 7% pengurusan tertinggi - PM Anwar
herman
16/08/2024 - 11:42
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 7% kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
"Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024, di Putrajaya hari ini.




Anwar berkata, pelarasan gaji bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah sebanyak 8% pada Fasa 1 dan 7% pada Fasa 2 manakala untuk KPT adalah 4% bagi Fasa 1 dan 3% bagi Fasa 2.
"Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara," kata Perdana Menteri seperti dilapor Bernama.

Selain itu, kata Anwar, Sistem Saraan Malaysia (SSM) juga akan diganti kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) mulai 1 Disember 2024.
Antara perubahannya adalah ganjaran hanya diberikan pada kakitangan awam yang berkhidmat dengan setia, amanah dan cemerlang.
Turut diumumkan Perdana Menteri, pengiktirafan kepakaran diberikan kepada pegawai yang berkelayakan sebagai pegawai Subject Matter Expert (SME).
Insentif berasaskan prestasi akan diberikan kepada pegawai yang mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK).
Katanya, julat peningkatan pendapatan akan diterima penjawat awam antara 16.8 hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah berganda.
Pelarasan ini juga akan melibatkan pesara manakala Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi veteran ATM tidak berpencen akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi yang layak.- DagangNews.com



