
PADANG BESAR – Seramai 106 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 teruja apabila pasangan diraja Perlis berkenan meninjau persiapan akhir perbarisan tamat latihan Wira Muda Negara PLKN 3.0 di sini, hari ini.
Penolong Wira Muda Kanan, Nur Aziera Namisha Muhamad Sobri berkata, dia berasa amat bertuah kerana diberi peluang buat pertama kali melapor secara langsung kepada Raja Muda Perlis, Brigadier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
“Saya diminta melaporkan mengenai pengalaman, keadaan serta latihan yang kami jalani sepanjang 44 hari menyertai PLKN 3.0.
“Macam-macam perasaan timbul ketika itu, gembira, gemuruh, risau dan teruja kerana ini kali pertama saya melapor kepada Raja Muda Perlis,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail berkenan beramah mesra dengan pelatih PLKN 3.0.
Baginda kemudiannya berkenan meninjau prasarana yang disediakan termasuk dewan makan, asrama serta beberapa fasiliti lain yang masih dalam pembinaan di Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 504AW di sini.
Sementara itu, jurulatih CLKN 504AW, Nur Aina A’arip berkata, pelatih di kem berkenaan amat bertuah kerana mendapat perhatian secara langsung daripada Raja Muda Perlis. – KOSMO! ONLINE
The post Pelatih PLKN teruja kunjungan Raja Muda Perlis appeared first on Kosmo Digital.

