Pelawat Brunei kini boleh isi RON97 di Kimanis 

LocalCars
4 May 2025 • 1:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Petronas mengambil inisiatif menyediakan bekalan RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis bagi memenuhi keperluan pengguna.

Ia susulan kesukaran dihadapi pengguna, khususnya pelawat dari Brunei Darussalam, berikutan ketiadaan bekalan RON97 di semua stesen minyak di sepanjang laluan bermula dari sempadan negara itu hingga ke Kota Kinabalu.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hasil perbincangan dengan Petronas, satu inisiatif diambil melalui penggunaan Tangki Mudah Alih (PCS) Mini yang dilaksanakan di Stesen Minyak Petronas Kimanis.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“PCS berkapasiti 5,000 liter itu merupakan ujian rintis dalam tempoh enam bulan sebelum pelaksanaan sepenuhnya yang bertujuan menilai keberkesanan sistem penyimpanan dan penjualan bahan api itu.

“Tempoh percubaan ini juga membolehkan pemantauan dan analisis terperinci dalam pelbagai aspek agar pelaksanaannya lebih efisien serta menguntungkan bagi masa jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran PCS RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagang Berhad, Azureen Azita Abdullah, di sini, Sabtu.

Armizan berkata, selain ketiadaan bekalan RON97 di sepanjang laluan itu, pelawat dari Brunei juga berhadapan polisi kerajaan yang menetapkan kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97.

Katanya, Jabatan Kastam Di Raja Malaysia mencatatkan rekod kemasukan kenderaan dengan pendaftaran Brunei ke Sabah, Malaysia bagi tempoh tahun 2023 hingga 2024 adalah sebanyak 156,000 kenderaan.

“Pelawat dari Brunei terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 205 kilometer (km) dari Brunei untuk ke Kota Kinabalu mengisi petrol RON97 kerana bekalan terdekat hanya boleh didapati di Stesen Minyak Petronas Lintas-Kapayan.

“Justeru, bagi memastikan masalah ini tidak menjejaskan jumlah kemasukan mereka, Petronas mengambil inisiatif melalui PCS ini, sekali gus menyediakan bekalan sama kepada pengguna RON97 tempatan.

“Terdapat 260 stesen minyak di seluruh Sabah dan daripada jumlah itu, hanya 37 stesen yang membekalkan bahan api RON97 dan banyak stesen tidak menyediakan bekalan itu disebabkan faktor permintaan yang rendah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Armizan memaklumkan KPDN telah melaksanakan mekanisme Rekod Log Pemantauan (RLP) melibatkan semua 538 stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

Beliau berkata, mekanisme yang bermula 1 Januari tahun ini melibatkan pemantauan berkala penguatkuasaan KPDN di lapangan melibatkan semua bekalan bahan api.

“RLP telah diputuskan pada Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadilah Yusof pada 14 Disember lepas,” katanya.