
Kota Kinabalu: Mahkamah Majistret di sini, Selasa, menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau tiga bulan penjara terhadap seorang lelaki berusia 32 tahun kerana memandu dalam keadaan mabuk.
Pelayan bar Lance Daniel mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie kerana melakukan kesalahan itu jam 12.40 tengah malam pada 25 Ogos 2022 di Jalan Pintas Kopungit di sini.
Lance didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 dan RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.
Mahkamah juga memerintahkan lesen memandu Lance digantung selama dua tahun.
Terdahulu, pegawai pendakwa trafik Mohammad Khairul Nizam Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa Lance, yang memandu Perodua MyVi, didapati melakukan perbuatan itu semasa Ops Mabuk yang dijalankan di sepanjang jalan tersebut.
Peguam Lim Ming Zoong @ Lawrence yang mewakili Lance, memohon denda lebih rendah kerana dia memberikan kerjasama kepada polis semasa sekatan jalan raya dan dia mempunyai ramai tanggungan.
Sementara itu, seorang wanita berusia 31 tahun didenda RM1,000 atau sebulan penjara kerana terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.
Calesta Ginduoh mengaku berjudi dalam talian menggunakan telefon bimbit pukul 3.15 petang pada 15 Feb tahun ini di sebuah premis di Beverly Hills Plaza, Jalan Bundusan, Penampang.
Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit, yang melakukan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa Calesta ditahan polis semasa Ops Dadu kerana melakukan aktiviti itu dan merampas telefon bimbit dan wang tunai RM105 daripadanya.
Calesta didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

