
PELAYAR antarabangsa yang menyertai program Sail Malaysia Passage to East Yatch Rally 2024 gembira dengan sambutan mesra daripada penduduk setempat di sepanjang destinasi pengembaraan mereka di Sabah.
Pengasas Sail Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Tourism Malaysia, Datuk Seri Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood berkata, keunikan budaya dan layanan baik daripada komuniti sangat menggalakkan, dengan pelbagai pengisian aktiviti seperti tarian kebudayaan dan kemesraan masyarakat membuatkan peserta pelayaran cukup gembira dengan sambutan itu.
Tarian sambut tamu dan peragaan baju pelbagai etnik dipersembahkan oleh komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kunak setibanya kumpulan pengembara itu pada 16 Ogos lalu, di sini.
“Ia mencerminkan keharmonian dalam kalangan komuniti pelbagai etnik. Mereka meraikan kedatangan pelawat dengan layanan istimewa, dengan tarian budaya, makanan tradisi, hidangan buah-buahan tempatan dan sebagainya. Pelayar sangat gembira dengan ini,” katanya kepada Harian Express ketika ditemui pada 17 Ogos sempena kunjungan peserta bot layar antarabangsa yang berlabuh di sini.
SPONSORED CONTENT Hajiji says young business professionals' inputs needed to develop Sabah Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said he welcomed inputs from young business professionals to assist in policy formulation. Read more “Selain di laut, semasa di Kunak kami bawa mereka ke hutan hujan di Madai. Mereka dapat merasai suasana hutan dengan keunikan Air Terjun Madai yang memang istimewa dan dikenali ramai,” kata Adlin.
Bot layar itu berlabuh di perairan Pangi Kunak di Pusat Rekreasi Farfiq Sparkle bermula 16 hingga 19 Ogos sebelum meneruskan destinasi seterusnya ke Semporna.
“Tahun ini kali kedua daerah Kunak menjadi persinggahan bot-bot layar antarabangsa dalam program Sail Malaysia di Sabah. Pusat rekreasi pinggir pantai Farfiq Sparkle adalah destinasinya,” katanya, yang turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Kunak, Majlis Daerah, pasukan keselamatan Esscom dan semua agensi kerajaan, termasuk sektor swasta serta individu yang memberi komitmen sepenuhnya dalam melancarkan Program Sail Malaysia di sini.
Adlin berkata pelayaran Sail Malaysia di Sabah kali ini, yang bermula di Kudat pada 26 Julai lepas, membabitkan 21 kapal layar dengan 55 peserta daripada 10 negara termasuk Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, Portugal, Filipina, New Zealand, Switzerland, Jerman, Slovenia dan Tanzania.
Ekspedisi kapal layar antarabangsa ini diketuai ketua pasukan David Anderson, pelayar dari Australia.
Antara persinggahan adalah Kudat, Tuaran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak dan pelayaran itu akan melabuhkan tirainya pada 26 Ogos di Semporna.
Semasa di Kunak, pelayar antarabangsa itu dibawa melawat kilang penapisan minyak sawit TSH Wilmar, Pusat Rekreasi Hutan Simpan Madai Baturong, Air Terjun Madai, dusun buah-buahan tropika di Kg Kadazan dan lawatan ke inap desa puncak bukit di Cenderawasih yang dalam proses penyiapan.
Turut hadir, Pengarah Urusan Sail Malaysia Sazli Kamal Basha, Adun Kunak Datuk Norazlinah Arif, Penolong Pegawai Daerah Rubert Salimon, aktivis masyarakat yang juga pemilik Kebun Buah-buahan Tropika Datuk William Chiuh, Pengurus Pusat Rekreasi Farfiq Sparkle Rizal Hassan, Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kunak Mohd Hata Arabi, Pengurus The Hidden Sanctuary Alice Lim, serta Setiausaha Koperasi Komuniti Pelancongan dan Kebudayaan Madai Berhad (Kokom) Milerie M. Asinti.
Pelayar Australia (Yatch 9 Lives) Mark Hannaford berkata, beliau sangat menyukai suasana keindahan alam semula jadi di Kunak selain hidangan buah-buahan tropika yang disediakan semasa berada di sini.
“Buah durian, manggis, rambutan, nanas…buah nangka yang jarang-jarang saya temui sangat sedap, kami sangat seronok berada di sini,” kata Mark yang ditemani isterinya Jane.
Sementara itu, pelayar wanita Indonesia, Dariyah Foletti bersama suaminya Michael Foletti (pelayar Australia) teruja dengan sambutan masyarakat tempatan.
“Buat pertama kali kami tiba di Kunak. Orang-orang di sini memberi layanan yang bagus. Ada masa dan peluang, kami akan datang ke sini lagi,” kata Dariyah yang ditemui di Pusat Rekreasi Madai Baturong.
Dalam pada itu, Adlin berkata, lawatan ke kilang penapisan minyak sawit TSH Wilmar bertujuan memberi gambaran jelas kepada pelancong bahawa Malaysia berusaha mempertahankan kepentingan industri minyak sawit dalam menghadapi cabaran Kesatuan Eropah (EU).
“Sebelum ini, isu berkaitan pemboikotan minyak sawit negara, terutamanya di Eropah, sangat berleluasa.
“Bagi memberi gambaran jelas mengenai kaedah pemprosesan minyak sawit, kali ini kami membawa peserta Sail Malaysia meninjau kilang penapisan minyak di Kunak.
“Minyak masak yang diproses di kilang itu dieksport ke luar negara. Kami cuba ketengahkan konsep pelancongan berasaskan pendidikan kepada pelawat luar bagaimana minyak sawit diproses di kilang penapisan dengan teknologi yang ada di sini.
“Penerangan jelas disampaikan oleh pihak pengurusan kilang,” kata Adlin.
Kementerian Perladangan dan Komoditi, misalnya, terus mengukuhkan usaha menambah baik pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bertujuan memenuhi keperluan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Adlin berkata, liputan hutan di Sabah melebihi 50 peratus dengan usaha penanaman pokok diteruskan dari semasa ke semasa.
“Ia memberi kesan positif kepada ekosistem dan biodiversiti. Kawalan dan penjagaan alam sekitar yang sangat perlu diberi perhatian.
“Tarikan produk pelancongan di Sabah yang banyak dan kemesraan penduduknya membantu menarik pelancong ke negeri ini,” kata Adlin.
Pelayar dari Amerika Syarikat, Steve Lewis berkata dia pertama kali berpeluang melawat kilang penapisan minyak di Sabah dan melihat sendiri bagaimana minyak masak sawit diproses menggunakan mesin dan teknologi sebelum dieksport ke luar negara.
Warwick Hastwell, pelayar Australia (Yatch Kainahu) juga berkongsi pengalaman melihat sendiri suasana di dalam kilang sawit itu.
“Lawatan dan pengalaman yang sangat bagus, ia menjadi memori dalam pengembaraan kali ini bersama Sail Malaysia,” kata Warwick.
Dalam perkembangan berkaitan, William berkata Kunak mempunyai 10 kawasan menarik yang boleh dikunjungi jika dibangunkan sebagai lokasi pelancongan, termasuk di darat dan pulau-pulau sekitar perairannya.
Dengan tanah yang subur dan iklim Khatulistiwa yang sesuai untuk pelbagai jenis tanaman buah-buahan tropika, Kunak juga kaya dengan hasil pertanian seperti kelapa sawit, serta tanaman kontan seperti sayur-sayuran, ubi keledek, jagung dan ubi kayu.
Selain itu, bidang akuakultur dan agrotani turut menyumbang kepada pendapatan ekonomi pengusaha dalam kalangan penduduk setempat.
“Produk pertanian dan akuakultur ini juga boleh menjadi tarikan kepada pelawat dan pelancong asing yang datang ke sini,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
