
JURULATIH interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan memikirkan masa depannya yang masih ‘tergantung’ sebaliknya mahu membantu pasukan mempamerkan prestasi positif pada kempen Piala ASEAN FIFA kali ini.
Sebagai rekod, Cheng Hoe telah dilantik menjadi pengendali interim skuad negara bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter Cklamovski pada Jun lepas.
Selepas membantu skuad negara mara ke separuh akhir Piala ASEAN AFF bulan lalu, Cheng Hoe memiliki satu lagi peluang untuk meyakinkan pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menawarkannya jawatan selaku pengendali tetap.
Bagaimanapun, bekas pengendali Selangor FC itu menyerahkan sepenuhnya keputusan mengenai masa depannya kepada FAM kerana mahu memberi tumpuan kepada Piala ASEAN FIFA yang bermula Jumaat ini.
“Saya serahkan kedudukan saya sepenuhnya kepada pengurusan FAM. Sekarang saya mahu fokus sepenuhnya kepada kempen Piala ASEAN FIFA ini,” katanya secara ringkas.
Skuad Harimau Malaya mengharungi saingan Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh dengan hanya juara kumpulan mara secara automatik ke final.
Mengulas peluang Malaysia dalam saingan kumpulan, Cheng Hoe enggan memandang mudah Bangladesh meskipun perhatian lebih terarah kepada pertemuan dengan Indonesia.
“Setiap jurulatih yang menyertai kejohanan sudah tentu mahu menang, tetapi pertandingan ini unik. Kita tidak boleh memandang rendah perlawanan pembukaan menentang Bangladesh. Setiap perlawanan dalam kumpulan ini adalah pertembungan 50-50,” katanya.
The post Peluang Cheng Hoe yakinkan FAM appeared first on Kosmo Online.






