Peluang ibu kongsi kisah C-section

Health & FitnessFamily & Parenting
2 Oct 2026 • 10:12 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Peluang ibu kongsi kisah C-section

BAGI ibu yang melahirkan anak melalui pembedahan caesarean (C-section), proses pemulihan melangkaui tempoh selepas bersalin biasa.

Selain itu, perubahan fizikal yang mungkin berlaku selepas melahirkan anak, para ibu juga perlu melalui penyesuaian emosi, perubahan pandangan terhadap diri sendiri serta pengalaman peribadi tidak dibincangkan secara terbuka.

Sehubungan itu, kempen See Her Heal – 1,000 Untold Stories diwujudkan untuk membantu para ibu berasa lebih difahami, didengari dan disokong dengan menyediakan ruang bagi mereka berkongsi realiti perjalanan pemulihan.

Kempen dilancarkan oleh Dermatix Malaysia itu dijayakan menerusi sebuah laman mikro interaktif yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif.

Ia kini dibuka kepada para ibu di seluruh Malaysia untuk berkongsi pengalaman mereka melahirkan anak menerusi C-section.

Melalui platform itu, para ibu boleh menghantar kisah peribadi yang diilhamkan daripada pengalaman pembedahan C-section mereka, sebelum diolah menjadi sebuah lukisan yang menggambarkan kisah tersebut.

Laman mikro itu dibangunkan untuk memudahkan para ibu berkongsi kisah dan meluahkan perasaan dengan kerahsiaan mereka terus terpelihara, termasuk pengalaman yang mungkin sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Pengurus Besar Menarini Malaysia, Josie Ong berkata, pemulihan selepas melahirkan anak merupakan pengalaman yang amat peribadi.

Katanya, ramai ibu mungkin merasakan bahawa sebahagian daripada pengalaman pembedahan C-section mereka tidak dibicarakan secara terbuka atau difahami sepenuhnya.

“Melalui See Her Heal – 1,000 Untold Stories, kami berharap dapat menyediakan ruang bagi para ibu berkongsi kisah dan mendapatkan sokongan supaya mereka berasa didengari serta mengetahui bahawa mereka tidak keseorangan.

Image from: Peluang ibu kongsi kisah C-section
IBU yang melahirkan anak menerusi kaedah C-section perlu melalui proses pemulihan lebih lama. – Gambar hiasan

“Kempen ini diperkenalkan menerusi acara pelancaran yang menghimpunkan suara penting dalam bidang kesihatan ibu, pencipta kandungan keibubapaan dan rakan komuniti untuk membincangkan pemulihan selepas pembedahan C-section serta pengalaman sebagai seorang ibu.

“Sesi ini menelusuri bagaimana pengalaman pemulihan berbeza bagi setiap ibu, serta bagaimana perbualan terbuka, sokongan emosi dan komuniti yang saling menyokong dapat membantu para ibu berasa lebih difahami sepanjang tempoh selepas bersalin,” katanya.

Dengan laman mikro kempen kini tersedia, See Her Heal – 1,000 Untold Stories mengajak para ibu di seluruh Malaysia menyertai perkongsian kisah dengan menyumbangkan catatan yang diinspirasikan daripada pengalaman perjalanan pemulihan selepas pembedahan C-section dilalui mereka.

Melalui platform itu, inisiatif tersebut berhasrat mengetengahkan kisah yang sering tidak didengari sambil memupuk pemahaman, keprihatinan dan semangat kebersamaan yang lebih kukuh terhadap para ibu selepas bersalin.

Para ibu, keluarga dan penyokong komuniti boleh mengetahui lebih lanjut mengenai See Her Heal – 1,000 Untold Stories dan menyertai pengalaman perkongsian kisah dalam laman web 1000untoldstories.

Bersempena ulang tahun ke-15 Dermatix di Malaysia, A. Menarini Malaysia turut menghulurkan sokongan kepada kanak-kanak sumbing melalui kerjasama bersama Cleft Lip and Palate Association of Malaysia (CLAPAM).

Menerusi inisiatif ini, syarikat itu menaja kos rawatan bagi pembedahan bibir sumbing dan menyediakan produk penjagaan parut untuk menyokong pemulihan selepas pembedahan.

Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu untuk menyokong keluarga dan komuniti yang melalui perjalanan pemulihan.

 

The post Peluang ibu kongsi kisah C-section appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved