
Kota Kinabalu: Peningkatan kesalinghubungan antara Sabah dan Indonesia, disokong pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, membuka peluang besar untuk meletakkan Borneo sebagai destinasi pelancongan rentas sempadan utama, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.
Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), berkata Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong yang bakal dibina serta jalan akses baharu di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) akan terus memperkukuh hubungan antara Sabah dan Indonesia.
Apabila siap kelak, katanya, ICQS Serudong akan menjadi pintu masuk sempadan darat antarabangsa kekal pertama Sabah dengan Indonesia, sekali gus mewujudkan peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Dengan pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, yang sedang pesat berlangsung di Kalimantan Timur, Sabah berada pada kedudukan strategik dalam sebuah rantau yang semakin saling berhubung.
“Ini membuka peluang untuk terus mengetengahkan Borneo sebagai destinasi yang membolehkan pelawat menikmati kepelbagaian budaya, landskap dan komuniti merentasi sempadan,” katanya pada sidang media ekspedisi ‘30 Years Tribute to Trans Borneo 2026’ di pejabat STB, di sini, Isnin.
Joniston berharap peningkatan akses itu akan menggalakkan lebih ramai pelancong meneroka Borneo melalui laluan darat, selain merangsang lebih banyak inisiatif yang meraikan warisan bersama dan pengalaman unik pulau berkenaan.
Beliau berkata perkembangan itu turut menyokong visi kesalinghubungan serantau di bawah Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Asean.
Terdahulu, Joniston berkata ekspedisi Trans Borneo yang pertama kali dianjurkan pada 1996 telah mencetuskan semangat pengembaraan, mengeratkan persahabatan dan memperkukuh hubungan rentas sempadan di seluruh Borneo sejak tiga dekad lalu.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Indonesia 4x4 Overland dan Borneo Overland Expeditions Sdn Bhd yang diketuai John Kong atas penganjuran ekspedisi peringatan itu, di samping menghargai perintis Ekspedisi Trans Borneo 1996, Anuar Ghani dan Harry Sanusi dari Indonesia.
Joniston berkata pelancong masa kini semakin mencari pengalaman autentik yang membolehkan mereka berinteraksi dengan komuniti tempatan, memahami budaya yang berbeza dan mencipta kenangan bermakna.
Menurutnya, pelancongan darat dan pengembaraan menyediakan platform terbaik untuk mempromosikan tarikan semula jadi, kepelbagaian budaya serta keramahan masyarakat Sabah dari perspektif berbeza.
“Ketika kita membina momentum ke arah Tahun Melawat Sabah 2027, pengalaman pelancongan autentik seperti ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran dan menggalakkan lebih ramai pelawat menerokai Sabah.
“Peserta ekspedisi juga menjadi pencerita. Melalui pengalaman, gambar dan kenangan yang dikongsi, mereka membantu memperkenalkan Sabah dan Borneo kepada masyarakat di seluruh dunia,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua peserta selamat sepanjang ekspedisi dan berharap mereka kembali sebagai duta yang mempromosikan keindahan serta kepelbagaian Sabah dan Borneo ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Anuar berkata kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Indonesia amat penting bagi menjadikan pelancongan rentas sempadan yang bertanggungjawab lebih mudah diakses, di samping mengukuhkan hubungan serantau serta mewujudkan peluang ekonomi lebih besar di seluruh Borneo.
Pengasas Ekspedisi Trans Borneo 1996 dan North Borneo Explorer Sdn Bhd (NBE) itu berkata semangat ekspedisi berkenaan bukan sekadar pengembaraan, sebaliknya menjadi platform untuk memupuk persahabatan, persefahaman dan kerjasama antarabangsa.
“Saya berharap Malaysia dan Indonesia akan terus memperkukuh kerjasama bagi menjadikan pelancongan rentas sempadan yang bertanggungjawab lebih mudah diakses pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata Ekspedisi Trans Borneo yang dilancarkan pada 1996 membuktikan ekspedisi darat mampu menghubungkan komuniti merentasi sempadan, budaya dan bentuk muka bumi yang mencabar, di samping menggalakkan penerokaan serta membina persahabatan berkekalan.
Menurut Anuar, ekspedisi itu menjadi simbol kerjasama antara Malaysia dan Indonesia susulan misi peninjauan yang dijalankan pada 1995 bersama beberapa anggota perintis dari kedua-dua negara.
Beliau berkata pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan, termasuk cadangan menghubungkan Sabah secara terus dengan Kalimantan Utara melalui pintu masuk sempadan darat antarabangsa, akan terus meningkatkan kesalinghubungan serantau.
Anuar berkata kajian turut mengenal pasti peluang besar untuk membangunkan rantaian nilai rentas sempadan dalam sektor pelancongan perubatan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Tvet), industri sawit, pemprosesan kayu, perikanan, pertanian organik serta pelancongan pelbagai destinasi yang menghubungkan Sabah dan Kalimantan Utara.
Beliau turut menggesa komitmen lebih besar bagi meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan, sambil menyatakan Indonesia telah mencapai kemajuan ketara dalam pembangunan infrastruktur sempadan.
Mengenai perjalanan rentas sempadan, Anuar menggesa syarat Carnet de Passage (CDP) dimansuhkan atau digantikan kerana sistem sedia ada memerlukan jaminan kewangan yang tinggi bagi pelancong yang membawa kenderaan persendirian merentasi sempadan.
Beliau berkata pemansuhan syarat itu akan menyokong matlamat perjanjian Asean untuk memudah cara pengangkutan rentas sempadan, mempermudah prosedur kastam serta merancakkan pelancongan dan kesalinghubungan serantau.
Mengulas perancangan akan datang, Anuar mengumumkan North Borneo Explorer Sdn Bhd akan menganjurkan Ekspedisi Trans Borneo 2027 yang menampilkan laluan baharu bagi meneruskan legasi ekspedisi bersejarah itu.
Beliau turut mengulangi gesaan supaya perkhidmatan Feri Malaysia (Cruise Muhibbah) diwujudkan semula bagi membolehkan lebih ramai pelancong dari Semenanjung Malaysia dan destinasi lain meneroka Sabah dan Sarawak menggunakan kenderaan sendiri, sekali gus menggalakkan pelancongan, memperkukuh integrasi nasional serta meningkatkan kefahaman mengenai keperluan unik kedua-dua negeri di Borneo.
“Trans Borneo bukan sekadar sebuah ekspedisi. Ia sentiasa menjadi inspirasi kepada orang ramai untuk meneroka, menghormati alam semula jadi, menghargai kepelbagaian budaya dan membina persahabatan yang merentasi sempadan,” katanya.


