

Peluang Malaysia Meneroka Pasaran Baru Pengeksportan Sumber Ikan Ke Republik Côte D’ivoire
PUTRAJAYA, 31 MEI 2024 – Malaysia dipelawa meneroka pasaran baru pengeksportan sumber ikan ke Republik Côte d’Ivoire. Perkara ini dibincangkan sewaktu kunjungan hormat daripada Minister of Animal Resources and Fisheries, Republik Côte d’Ivoire, TYT Sidi Tiemoko Toure ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu semalam di Wisma Tani, Putrajaya.
Secara khususnya, TYT Sidi memaklumkan bahawa ikan merupakan sumber utama protein di Republik Côte d’Ivoire dengan purata penggunaan 25 kilogram per kapita setahun. Beliau berharap supaya Malaysia dapat mengeksport lebih banyak sumber ikan kepada Republik Côte d’Ivoire dan mengalu-alukan kerjasama pertukaran pakar rujuk dalam sektor perikanan.
Dalam kalangan 54 negara-negara Afrika, Republik Côte d’Ivoire merupakan rakan dagangan ketiga terbesar di Malaysia. Data perdagangan bagi tahun 2023 merekodkan nilai eksport dari Malaysia ke Republik Côte d’Ivoire sebanyak RM527.26 juta dan usaha mengeksport sumber ikan ke Republik Côte d’Ivoire dijangka dapat melonjakkan nilai perdagangan Malaysia. Justeru, pertemuan kedua-dua pemimpin adalah penting dalam meneroka peluang meningkatkan perdagangan di antara kedua-dua belah negara.

Pertemuan sulung kedua-dua pemimpin ini membincangkan potensi kerjasama dua hala terutamanya dalam sektor perikanan dan akuakultur selain usaha untuk meningkatkan akses pasaran produk Malaysia untuk dieksport ke Republik Côte d’Ivoire seperti produk nilai tambah haiwan, produk telur dan makanan haiwan.

Di kesempatan tersebut, YB Menteri juga mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta berharap kerjasama dua hala dapat dipertingkatkan lagi.
Di akhir pertemuan, YB Menteri telah menjemput TYT Sidi ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 12 September 2024 dan turut mempelawa penyertaan pihak Republik Côte d’Ivoire dalam acara dwi-tahunan tersebut.
Hadir sama dalam pertemuan ini adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), YBhg. Datuk Azah Hanim bin Ahmad; Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Adnan bin Hussain serta pegawai-pegawai KPKM dan Jabatan/Agensi di bawah KPKM.
The post Peluang Malaysia Meneroka Pasaran Baru Pengeksportan Sumber Ikan Ke Republik Côte D’ivoire appeared first on Siakap Keli.


