
Kota Kinabalu: Meluaskan cukai prokesihatan ke atas produk rokok elektronik lebih wajar berbanding larangan haram secara menyeluruh, kata Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd. Shahabudeen Jalil.
Katanya, langkah itu bukan saja dapat mengawal penggunaan produk terbabit, tetapi juga dapat memelihara kelangsungan industri tempatan yang sah serta bertanggungjawab, sekali gus menjaga kesihatan awam.
“Walaupun pengenalan cukai ini akan memberi kesan terhadap harga produk dan operasi pengeluar, kita yakin langkah bersifat kawalan ini lebih wajar, inklusif dan progresif berbanding larangan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, di sini, Isnin lalu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mempertimbang larangan penuh kepada penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik, tetapi usaha itu masih memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan, dan kesihatan awam.
Selain itu, beberapa Kerajaan Negeri turut mengharamkan sepenuhnya penjualan vape seperti Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang, dengan Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan penjualannya masing-masing sejak 2016 dan 2015.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Jumaat lalu juga menjelaskan bahawa kerajaan akan berusaha memperluas cukai prokesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bagi membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.
Katanya, langkah itu adalah bukti ketegasan kerajaan dalam usaha menangani risiko kesihatan.
Selain itu, Shahabudeen turut menggesa kerajaan agar menyelaraskan dasar berkaitan rokok elektronik susulan kenyataan yang bercanggah antara Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan.
“Ini yang menimbulkan kekeliruan dalam industri sebenarnya. Dasar tidak menentu cuma akan memburukkan industri vape, menyukarkan pelaburan dan merencatkan perancangan jangka panjang.
“Kekeliruan juga timbul bila ada perbezaan pendekatan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri, yang sudah pun mengambil langkah untuk mengharamkan penjualan vape
“Ketidaksepadanan dasar ini bukan hanya mengelirukan pengusaha industri, bahkan membingungkan pengguna,” katanya.
Tegasnya, masalah utama yang perlu diberi tumpuan adalah lambakan produk vape haram dan tiruan di pasaran.
“Ini yang menyebabkan kehilangan hasil kepada negara kerana ia tidak mematuhi piawaian keselamatan, tidak dikenakan cukai serta membawa risiko kesihatan lebih tinggi kepada pengguna,” katanya.



