
SIAPA sangka, di sebalik ketegasan mengemudi jentera pertahanan suatu ketika dahulu, bekas kapten skuad bola sepak kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Razak rupa-rupanya seorang bapa yang cukup berjiwa sensitif apabila berbicara tentang keluarga.
Fasa persaraan nyata memberi ruang seluas-luasnya buat bapa kepada enam cahaya mata ini untuk menikmati momen yang sering terlepas pandang sebelum ini.
Menolak tepi segala glamor dan kilauan trofi masa lalu, fokus utama suami kepada pelakon jelita, Ayu Raudhah ini kini seratus peratus beralih kepada empayar kecil yang dibina bersama isteri tercinta.
Menerusi satu hantaran yang cukup menyentuh hati di Instagram miliknya, Zaquan secara santai berkongsi falsafah hidup baharunya mengenai erti rezeki yang sebenar.
Baginya, definisi kekayaan itu tidak lagi diukur pada angka atau harta benda, sebaliknya pada ketenangan jiwa dan masa berkualiti di rumah.
“Rezeki itu bukan sekadar duit dan kemewahan dunia… ada rezeki yang hadir dalam bentuk masa, ketenangan dan momen bersama anak-anak.
"Gelak tawa mereka, pelukan kecil mereka, itulah nikmat yang paling mahal dan tidak ternilai harganya.
"Alhamdulillah, syukur atas setiap nikmat yang ALLAH pinjamkan dalam hidup ini,” coretnya penuh kesyukuran.

Kebahagian harmoni
Perkongsian jujur itu bukan sahaja menjentik emosi pengikutnya, malah turut mengusik hati si isteri. Ayu Raudhah dilihat sempat meninggalkan komen manja yang mencuri perhatian ramai.
"We love you Daddy, walaupun mata tu chemeyyy," tulisnya.
Mungkin ia merujuk kepada wajah suaminya yang kelihatan mengantuk atau layu dalam gambar tersebut, namun tetap penuh dengan kasih sayang.
Usikan mesra dua sejoli ini jelas menggambarkan kebahagiaan harmoni yang sedang mereka lalui.
Melihat kebahagiaan keluarga besar ini, rata-rata warga maya tidak melepaskan peluang memberikan sokongan moral dan bersetuju sepenuhnya dengan luahan Zaquan.
"Bestnya anak ramai... Nanti bila masing-masing dah besar, balik raya... Meriah..."
Manakala seorang lagi netizen turut menyokong komen tersebut.
"Ya, 200 peratus betul... Love family."
Malah ada juga yang sempat mengaitkan rezeki waktu bersama.
"Seronok dapat jumpa seminggu sekali itu pun rezeki juga.. kalau lagi selalu jumpa lagi banyak rezeki."
Nukilan ringkas daripada Zaquan ini sebenarnya menjadi peringatan lembut buat kita semua, dalam kesibukan mengejar urusan dunia, jangan pernah lupa untuk menghargai sekecil-kecil nikmat yang ada di depan mata.
