
Tidak ada salah ejaan pada tajuk artikel ini kerana syarikat Roketsan daripada Turki telah melancarkan peluru berpandu Neşter (pisau bedah) yang bersejatakan pisau tajam seperti pedang samurai. Neşter dilancarkan ketika acara Pameran Pertahanan dan Aeroangkasa Antarabangsa SAHA 2026 di Istanbul dengan ia direka khusus untuk membunuh sasaran tanpa menggunakan letupan.

Senjata kinetik seperti Neşter dibangunkan bagi mengelakkan korban kolateral apabila ditembak ke arah musuh. Enam bilah pisau akan terkeluar daripada tubuh Neşter apabila menghampiri sasaran. Ia akan memotong dan sekaligus membunuh sasaran di lapangan ataupun di dalam kenderaan yang tidak berperisai. Sasaran dihapuskan menggunakan pisau tajam semata-mata tanpa sebarang letupan.
Maklumat spesifikasi penuh Neşter belum lagi didedahkan tetapi ia berasaskan peluru berpandu kompak MAM-L juga keluaran Roketsan. MAM-L adalah peluru berpandu khusus untuk dron seperti Bayraktar TB2 maka bolehlah diramalkan Neşter juga direka untuk dron yang sama.
Pembangunan Neşter adalah mengambil inspirasi daripada peluru berpandu AGM-114R9X yang juga bersenjatakan pisau tajam sehingga menerima gelaran Ninja Bomb dan Flying Ginsu. Varian kepada peluru berpandu Hellfire ini digunakan oleh Amerika Syarikat sejak 2017 untuk menyerang musuh mereka di Asia Barat.
