Pemain import Kelantan United FC tolak tawaran sertai kelab Qatar, Mesir

Football
6 Mar 2024 • 4:15 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Pemain import Kelantan United FC (KUFC) dari Palestin Oday Kharoub (gambar) menolak dua tawaran dari kelab Qatar dan Mesir demi beraksi di bumi Malaysia pada saingan Liga Super 2024/2025.

Oday Kharoub menerusi penterjemah berkata beliau menerima tawaran untuk memperkuatkan jentera tengah KUFC berikutan kelab itu berada di Malaysia yang sangat rapat dengan negaranya yang sedang berperang ketika ini.

“Saya menolak dua tawaran itu kerana Malaysia amat rapat dengan Palestin dan hati saya terbuka untuk terima tawaran KUFC dan datang ke Malaysia.

“Sebagai pemain kebangsaan Palestin kedatangan ke Malaysia memberi saya peluang untuk menjalani latihan dan bermain dengan lebih bagus kerana di negara saya sendiri tidak berpeluang kerana ada peperangan,“ katanya kepada pemberita di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini.

Oday berkata beraksi di bumi Malaysia memberikannya peluang untuk menaikkan nama Palestin yang sedang bergolak di mata dunia selain bekerja keras membawa KUFC ke peringkat lebih tinggi musim ini.

“Seperti yang kita tahu apa yang berlaku di Palestin sejak 7 Okt lepas saya sebagai pemain tidak dapat menjalani latihan selama dua bulan kerana serangan Israel.

“Kami sukar keluar Palestin untuk menyertai kejohanan luar negara akibat serangan itu maka apabila saya mendapat tawaran dari KUFC saya mengambil peluang ini mahu menunjukkan kepada dunia rakyat Palestin berhak hidup bebas dan damai,“ katanya.

Menurut Oday ramai rakannya yang tinggal di Gaza telah mati syahid akibat peperangan itu.

“Ada jurulatih kami turut terkoban, kami mengharapkan doa semua supaya peperangan ini berakhir,“ katanya.

Semalam, KUFC mengumumkan telah menandatangani kontrak semusim bersama pemain berusia 31 tahun itu selepas beliau beraksi cemerlang membantu pasukan negaranya pada Kejohanan Piala Asia lepas. -Bernama