Pemain industri sektor perladangan mahu kerajaan semak kadar levi keuntungan luar biasa untuk Sabah, Sarawak - Fadillah

3 Oct 2023 • 4:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemain industri sektor perladangan mahu kerajaan semak kadar levi keuntungan luar biasa untuk Sabah, Sarawak - Fadillah

azan

03/10/2023 - 16:42

KUALA LUMPUR 3 Okt - Kementerian Perladangan dan Komoditi (MPC) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan agar kadar levi keuntungan luar biasa (WPL) bagi Sabah dan Sarawak berada pada paras 1.5% menerusi Bajet 2024, berbanding 3.0% ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu dibangkitkan oleh pemain industri semasa dialog yang diadakan oleh kementerian itu.

“Ini adalah antara perkara yang mereka bangkitkan.

"Mereka tidak membantah WPL, tetapi jika ia dikenakan, mereka mahu melihat bagaimana levi itu boleh memberi manfaat kepada industri termasuk dari segi insentif dan program seperti penanaman semula kelapa sawit,” katanya selepas pelancaran Persidangan Biodiesel Sawit Ke-4 dan pelepasan lori tangki biodiesel sawit B100 pertama Petronas di sini, lapor Bernama.

Terdahulu, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) menggesa kerajaan memulihkan harga WPL.

Mengambil kira peningkatan kos pengeluaran, persatuan itu meminta kerajaan menaikkan harga WPL sebanyak RM500 setiap tan minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3,500 setan untuk Semenanjung Malaysia, daripada RM3,000 bagi setiap tan pada masa ini, dan kepada RM4, 000 satu tan daripada RM3,500 setiap tan untuk Sabah dan Sarawak.

MPOA juga berharap insentif cukai bagi menyokong inisiatif penanaman semula berskala besar, mengiktiraf peranan kritikalnya dalam melindungi produktiviti sektor untuk menyokong rantaian bekalannya dan mengekalkan daya saing.

Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya berkata industri biodiesel sawit adalah bahagian penting dalam industri minyak sawit dan pertumbuhannya akan merangsang permintaan tempatan untuk MSM, memperkasakannya untuk menetapkan harga dan bukannya hanya mengikut arah aliran pasaran.

“Sebagai contoh, pelaksanaan B10 (program biodiesel) semasa kami dalam sektor pengangkutan baru bermula dan kami membayangkan bergerak ke arah pelaksanaan B20 di seluruh negara, yang dijangka meningkatkan penggunaan MSM kepada lebih satu juta tan setahun,” katanya.

Beliau berkata, komitmen itu tertanam kukuh dalam pelbagai dasar kerajaan negara, termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Dasar Pertanian Komoditi Negara 2021-2030, Dasar Automotif Negara 2020 dan Dasar Tenaga Negara 2022-2040. - DagangNews.com