
Kota Kinabalu: Pemain-pemain Sabah FC digesa untuk meningkatkan lagi permainan mereka jika mereka mahu beraksi cemerlang di suku akhir saingan Piala Malaysia.
Ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee membuat gesaan itu selepas menyaksikan pemain-pemainnya bergelut berdepan pasukan Liga Premier, UiTM FC dalam aksi timbal balik pusingan 16 terakhir di mana perlawanan berkesudahan 1-1 di Stadium Likas pada malam Isnin lalu.
Walaupun sekadar seri, Sabah FC berjaya mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 3-2 susulan kemenangan 2-1 pada aksi pertama.
“Saya gembira pasukan layak ke suku akhir tetapi tidak gembira dengan persembahan keseluruhan kami dalam dua perlawanan dan kami perlu meningkatkan permainan kami jika mahu beraksi cemerlang di pusingan seterusnya.
“Ia jelas tidak mudah untuk bermain dalam keadaan hujan lebat. Pada masa yang sama, UiTM bermain dengan ramai pemain pertahanan dan pujian harus diberikan kepada mereka kerana menyukarkan kami untuk menembusi pertahanan mereka,” kata Ong selepas perlawanan itu.
Beliau turut merungut mengenai kekurangan konsentrasi pemain-pemain yang membolehkan pasukan pelawat menjaringkan gol pada penghujung perlawanan.
“Ia situasi sama pada aksi pertama di mana kami dibolosi pada minit-minit akhir. Kami terlalu selesa selepas mendahului dan ini tidak harus berlaku.
“Kami perlu memastikan bahawa kami kekal fokus sehingga ke wisel penamat dan ia adalah penting untuk pemain-pemain membetulkan kesilapan mereka sebelum perlawanan seterusnya,” tambahnya.
Sementara itu, perlawanan hanya bermula pada jam 9 malam disebabkan hujan lebat dan pemain-pemain dari kedua-dua pasukan bergelut untuk bermain seperti biasa di atas padang yang basah dan licin.
Pemain-pemain Sabah dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu di awal permainan dan UiTM menerima tekanan hebat dengan penjaga gol mereka Rendy Rening menyelamatkan beberapa percubaan termasuk rembatan jarak dekat Nazirul Naim pada minit ke-35.
Tuan rumah hanya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-66 apabila Farhan Roslan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti selepas Muhd Afzal Akbar didapati memegang bola dengan tangan di kawasan kotak penalti.
Bagaimanapun kegembiraan mereka terbantut pada minit-minit akhir selepas Muhammad Farez Aiman yang tidak dikawal menjaringkan gol penyamaan dari jarak dekat.
Sementara itu, lawan Sabah FC yang seterusnya ialah Kuching FC selepas mereka meraih kemenangan 4-3 ke atas Penang FC.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

