Pemaju CRESS berdepan kekangan masa siapkan projek sebelum layak nikmati caj akses rendah - Wood Mackenzie

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 3:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemaju CRESS berdepan kekangan masa siapkan projek sebelum layak nikmati caj akses rendah - Wood Mackenzie Image from: Pemaju CRESS berdepan kekangan masa siapkan projek sebelum layak nikmati caj akses rendah - Wood Mackenzie hamden17/11/2026 - 15:20 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Pemaju projek tenaga boleh diperbaharui di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) perlu mempercepat pelaksanaan projek masing-masing bagi memenuhi tarikh akhir pentauliahan pada 31 Disember 2028.

 

Ini penting bagi memastikan mereka menikmati pengurangan Caj Akses Sistem (SAC) menerusi Pakej Percepatan CRESS yang telah meningkatkan daya maju ekonomi projek berkenaan.

 

Firma penyelidikan Wood Mackenzie berkata, masa semakin suntuk bagi pemaju untuk mendapatkan tanah, permit, pembiayaan dan sambungan grid sebelum tarikh akhir ditetapkan.

 

"Projek solar berskala utiliti lazimnya mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan dari peringkat pembinaan hingga pentauliahan. Oleh itu, pemaju yang masih belum bersedia berdepan cabaran untuk menyiapkan projek mengikut jadual.

 

"Setakat ini, sebanyak 3,148 megawatt (MW) kapasiti telah didaftarkan melibatkan 11 pemaju dan lapan pembeli. Bagaimanapun, tahap kesiapsiagaan projek berkenaan masih belum jelas," katanya.

 

Pengurangan caj akses tidak selesaikan masalah kekurangan tanah

Penganalisis penyelidikan kuasa dan tenaga boleh diperbaharui Asia Tenggara Wood Mackenzie, Alvin Tan, berkata pengurangan SAC membantu meningkatkan daya maju projek, tetapi tidak menyelesaikan masalah kekurangan tanah dan kapasiti penghantaran elektrik.

 

“Pemaju yang sudah memperoleh tapak dan mempunyai laluan jelas untuk menyambungkan projek kepada grid berada pada kedudukan terbaik untuk melaksanakannya.

 

“Bagi pembeli tenaga, keputusan untuk menangguhkan perolehan bukanlah sesuatu yang neutral. Projek yang paling maju akan diperoleh dengan cepat dan kelebihan dalam rundingan akan berpihak kepada pihak yang bertindak lebih awal,” katanya.

 

Menurut Wood Mackenzie, pemaju CRESS juga perlu mengenal pasti lokasi untuk menyalurkan tenaga ke grid dan menanggung kos pengukuhan rangkaian.

 

Persaingan mendapatkan tanah dan kapasiti penghantaran dengan program Solar Berskala Besar (LSS) turut menambah cabaran kepada pemaju.

 

Pembahagian risiko belum jelas

PETRA mengumumkan Pakej Percepatan CRESS pada 18 September 2026 dengan mengurangkan SAC yang dikenakan kepada pemaju daripada RM200/MWh kepada RM140/MWh.

 

Bagaimanapun, Suruhanjaya Tenaga kemudian menjelaskan bahawa pengguna tenaga hijau perlu membayar caj tambahan RM40/MWh. Ini menjadikan jumlah caj akses grid sebanyak RM180/MWh.

 

Menurut Wood Mackenzie, caj tetap RM140/MWh memberikan kepastian kos kepada pemaju, pemberi pinjaman dan penaja projek untuk tempoh 10 tahun pertama operasi.

 

Sebaliknya, caj tambahan RM40/MWh yang ditanggung pengguna tenaga hijau menyebabkan pembeli terdedah kepada perubahan tarif pada masa depan.

 

"Memandangkan Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) berakhir pada Disember 2027, perjanjian selama 10 tahun akan merangkumi beberapa kitaran semakan tarif.

 

"Sekiranya had pelarasan sebanyak 15% dikekalkan dalam garis panduan akan datang, caj pengguna tenaga hijau mungkin meningkat antara RM20 hingga RM30/MWh sepanjang tempoh kontrak," katanya.

 

Tan berkata, perubahan struktur SAC itu mengubah pembahagian risiko antara pemaju dengan pembeli tenaga.

 

Pemaju mendapat kepastian kos selama 10 tahun, manakala pembeli tenaga perlu menanggung risiko kenaikan caj akibat semakan tarif.

 

Keadaan itu dijangka menjadikan pembahagian risiko antara kedua-dua pihak sebagai antara perkara utama dalam rundingan komersial.

 

Cabaran turut timbul kerana kebanyakan Perjanjian Pembelian Kuasa Korporat (CPPA) mempunyai tempoh antara 15 hingga 21 tahun, lebih panjang berbanding tempoh kadar tetap SAC.

 

Wood Mackenzie berkata, PETRA masih belum menjelaskan kadar SAC selepas tahun ke-10.

 

Oleh itu, pemaju dan pemberi pinjaman perlu mengambil kira kemungkinan perubahan kos selepas tempoh tersebut ketika menilai pulangan projek untuk jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved