
GEORGE TOWN - Pembinaan projek kontroversi jalan pintasan bertingkat bernilai RM850 juta yang menghubungkan Air Itam dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sudah diarah untuk diberhentikan.
Arahan berkenaan dikeluarkan sehari selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan memfailkan aduan mengenai pemaju.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd menghentikan aktiviti kerja sementara menunggu siasatan terhadap aduan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, arahan itu dikeluarkan hari ini.
"Perintah itu dikeluarkan kerana kontraktor bekerja pada cuti umum. Mereka sepatutnya hanya menjalankan kerja tebatan di tapak, tetapi mereka melakukan lebih daripada apa yang diperlukan," katanya.
Dakwa Tan, pemaju telah menyebabkan gangguan kepada penduduk setempat.
"Pengabaian syarikat terhadap protokol komunikasi yang betul tidak boleh diterima dan membawa kepada kesusahan teruk untuk komuniti kami," katanya.
Tan turut menggesa Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang, yang menyelia projek pembinaan, meningkatkan sistem pemantauan dan memastikan pematuhan ketat terhadap peraturan.
Konsortium Zenith Construction juga adalah rakan kongsi projek terowong dasar laut yang menghubungkan Gurney Drive di pulau itu dan Bagan Ajam di Prai.
Pintasan itu yang merupakan projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM42 juta, dijangka dapat mengurangkan aliran trafik dengan ketara.
Penduduk Island Glades sebelum ini mengadu mengenai projek pintasan Air Itam. Ada yang mendakwa cedera ditimpa serpihan jatuh dari tapak pembinaan.
Forum Pulau Pinang pernah memberi amaran berhubung projek itu dengan berkata, sudut ketinggian dan persimpangannya melalui kawasan bukit boleh menjejaskan keselamatan tanah.
Projek itu dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Air Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu daripada 40 minit kepada kurang 10 minit.
Hujung minggu lalu, beberapa penduduk menyalahkan banjir kilat di Lebuhraya Thean Teik di Air Itam berpunca daripada projek itu. – The Vibes, 22 Mei 2024
