Pemandu bas ada rekod 18 saman, 13 daripadanya kerana memandu laju

LocalPolitics
10 Jun 2025 • 2:50 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan tragis membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding disahkan pernah menerima sebanyak 18 saman trafik.

Memetik Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, 13 saman adalah kerana kesalahan memandu melebihi had laju, selain satu saman berkaitan kemalangan, tiga kerana tidak memakai tali pinggang keledar dan satu lagi atas kesalahan tiada lampu brek ketiga.

“Kesemua saman ini masih belum dijelaskan,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati bas yang digunakan dalam insiden itu mempunyai 21 rekod saman trafik. Daripada jumlah tersebut, 16 sudah dijatuhkan hukuman, manakala lima lagi masih dalam siasatan.

Sementara itu, Mohd Yusri turut memaklumkan bahawa satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan tersebut secara menyeluruh. Pasukan itu akan melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan agensi berkaitan.

“Kita akan siapkan kertas siasatan secepat mungkin bagi membawa pemandu berkenaan ke muka pengadilan. Segala aspek akan diteliti termasuk latar belakang, sejarah pemanduan dan kegiatan terdahulu,” katanya.

Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI maut manakala tujuh lagi cedera parah apabila bas yang membawa mereka terbalik selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah Perodua Alza dalam kejadian sekitar jam 1.15 pagi, semasa perjalanan dari Jerteh ke Tanjong Malim.

Sumber : Harian Metro