JASIN - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu bas sekolah direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Jasin di sini pada Khamis selepas disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di dalam kenderaan berkenaan pada Selasa lalu.
Perintah reman hingga 11 Februari depan dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 50 tahun itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Difahamkan kejadian terbongkar selepas ibu pelajar berkenaan melihat perubahan sikap anaknya yang kemudian menceritakan kejadian.
Dikatakan kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang pada hari sama ketika mangsa sedang berada di dalam bas bersendirian selepas suspek menurunkan pelajar-pelajar lain.
Suspek bertindak memberhentikan bas di tepi jalan berhampiran kawasan perumahan di Kesang sebelum memaksa mangsa memegang kemaluannya.
Ibu mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kesang pada malam Rabu disusuli penahanan suspek pada hari sama.

