Pemandu bas sekolah kena 10 tahun, denda

LocalPolitics
10 Apr 2025 • 1:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Seorang pemandu bas sekolah yang memandu di bawah pengaruh dadah sehingga kemalangan lalu meragut nyawa penunggang motosikal, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM50, 000 atau lapan bulan penjara jika gagal bayar oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Muliandi Surianshah, 37, dijatuhkan hukuman tersebut oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas mengaku bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan trafik yang dihadapinya.

Muliandi yang juga berdepan tiga lagi pertuduhan trafik, turut hilang kelayakan memegang atau memohon lesen memandu selama 10 tahun, manakala, dia dipenjara dua bulan bagi setiap tiga pertuduhan tersebut - tiada lesen memandu, tiada perlindungan insuran dan cukai jalan tamat tempoh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3 Jalan Kalabakan, lebih kurang 1.30 petang pada 14 Oktober 2025 semasa memandu kenderaan bas sekolah di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan terlibat kemalangan.

Kemalangan tersebut menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal iaitu Ajmali Khan Bakht Zamin Shah, 19, pemegang paspot Pakistan.

Berdasarkan fakta kes, kemalangan pada 14 Oktober tahun lepas itu berlaku semasa Muliandi dari arah Kilang Kalabakan, Batu 8 Kapilit sedang menuju ke Pekan Kalabakan selepas tertuduh dipercayai memandu dengan laju di jalan selekoh sehingga hilang kawalan.

Bas yang dipandunya masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal jenis Honda Wave ditunggang oleh mangsa sehingga remaja lelaki itu terperosok ke bawah tayar depan kanan bas dan terseret sejauh 51 meter. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Semasa kemalangan, Muliandi disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan keputusan spesimen darah yang dihantar ke Jabatan Kimia mendapati darahnya mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Bapa kepada lima anak itu turut didapati tidak mempunyai lesen memandu, bas tidak dilindungi insuran serta LKM bas tamat tempoh sejak 17 Mac 2017.

Punca kemalangan disebabkan Muliandi memandu dengan cara merbahaya dalam keadaan khayal sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan kematian kepada pengguna jalan raya lain.

Muliandi didakwa mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) ; Seksyen 15 (1)(A) APJ 1987 (Akta 333/87); Sekysen 26 (1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan Seksyen 90 (1) APJ 1987 (Akta 333/87).

Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tawau, ASP Joan Lee tampil mendakwa, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.