Pemandu Bot Terbalik Di Pulau Perhentian Mengaku Bersalah Ambil Dadah

LocalPolitics
3 Jul 2025 • 4:28 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pemandu bot yang terlibat dalam tragedi bot terbalik di Pulau Perhentian baru-baru ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Pemandu bot mengaku bersalah

Menurut laporan Buletin TV3, tertuduh, Azrie Yazid, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

image is not available

Foto: Astro Awani

Mengikut pertuduhan, pemandu bot itu didakwa memasukkan dadah jenis nimetazepam ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut sekitar jam 10.05 pagi pada 29 Jun 2025.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qayyim Irfan Baharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Norhuda Mohamed Khan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dan menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan laporan patologi.

Terdahulu, media melaporkan tragedi bot karam yang berlaku sekitar jam 10.30 malam, 29 Jun lalu, ketika bot yang dipandu tertuduh membawa 15 penumpang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar, dipercayai dipukul ombak besar.

image is not available

Foto: Kosmo!

Insiden itu meragut tiga nyawa, termasuk S. Arumugam, 40, anak perempuannya Sarrvihka Arumugam, 3, serta seorang lagi kanak-kanak perempuan, V. Vennpani, 10.

Siasatan turut mendedahkan bahawa Azrie mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Sumber: Buletin TV3