Pemandu Didakwa Langgar Lampu Merah Sehingga Sebabkan Penunggang Motosikal Maut

7 May 2025 • 2:00 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah atas tuduhan melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban pada Sabtu lalu.

Menurut laporan BH Online, P Mohan, 45, dituduh sebagai pemandu van Toyota Hiace memandu kenderaan itu dengan cara berbahaya kepada awam hingga menyebabkan kematian Muhammad Annas Iskandar Mohd Khairi, 21.

Pemandu didakwa langgar lampu merah

image is not available

Foto: FB Kolej Poly-Tech MARA

Mengikut pertuduhan, P Mohan didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama.

Langgar lampu merah sehingga sebabkan kematian

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjarakan antara lima tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, selain boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang lima tahun.

image is not available

Foto: BH Online

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon tarikh untuk laporan PUSPAKOM, forensik dan kimia serta menawarkan jaminan RM15,000, selain lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam, Rajindar Singh memohon ikat jamin lebih rendah kerana anak guamnya mempunyai pendapatan antara RM3,000 hingga RM3,500 dengan berniaga menjual barangan sembahyang.

Manakala isteri tertuduh pula berniaga bunga serta pasangan itu mempunyai dua anak masih belajar berusia 21 dan 22 tahun.

Beliau memohon ikat jaminan RM5,000 sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dan lesen memandu tertuduh digantung serta-merta sehingga keputusan kes, manakala sebutan semula kes ditetapkan 3 Julai ini.

image is not available

Foto: Media sosial

Terdahulu, tular rakaman papan pemuka dashcam sebuah kenderaan memaparkan seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung melihat anaknya tidak bernyawa selepas maut dirempuh van berkenaan.

Sumber: BH Online (Ahmad Hasbi)