
TAWAU: Seorang pemandu jentera pengangkut kelapa sawit dihukum penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu selepas mengaku bersalah membunuh rakan sekerja wanitanya menggunakan parang akibat tidak berpuas hati terhadap mangsa.
Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman terhadap Roger Pasague Cullano, 54, dan memerintahkan tempoh pemenjaraan itu dikira bermula dari tarikh dia ditangkap pada 14 Jun 2025.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Jim) selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Roger tidak dikenakan hukuman sebatan atas faktor usianya. Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Visaya.
Dia didakwa membunuh rakan senegaranya Abigail Diego Mandi di kawasan semak Ladang Ample Land Tingkayu, Kunak antara jam 9.30 hingga 10.15 pagi pada 13 Jun 2025.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mayat mangsa ditemukan anaknya, Khasmer Diego Rhadzman dalam keadaan tertiarap di bawah timbunan pelepah kelapa sawit dan semak samun.
Mangsa ditemukan dengan seluar terbuka hingga ke paras lutut dan baju terselak hingga ke paras dada selain mempunyai beberapa kesan luka pada bahagian kepala dan muka.
Sebelum kejadian itu Khasmer pergi ke lokasi berkenaan kira-kira jam 10 pagi untuk mengutip biji sawit selepas dihubungi ibunya.
Bagaimanapun dia gagal menemui mangsa dan sebaliknya terserempak dengan tertuduh yang berada berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan badan berlumpur, mempunyai kesan darah pada pipi serta memegang sebilah parang panjang.
Hasil soal siasat selepas ditangkap, Roger mengaku membunuh mangsa kerana tidak berpuas hati terhadapnya. Dia turut mengaku mencederakan mangsa menggunakan parang sehingga menyebabkan kematiannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillany Siji manakala tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki dan Prem Elmer Ganasan.
Dalam hujahan pemberatan hukuman, Mohd Fillany berkata perbuatan tertuduh bukan sahaja meragut nyawa seorang ibu malah menyebabkan trauma kepada anak mangsa yang menemukan mayat ibunya sendiri.
Beliau berkata mengambil kira sifat pembunuhan dan serangan yang kejam serta ketiadaan faktor mitigasi seperti ketidakwarasan fikiran atau provokasi melampau secara tiba-tiba, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara 30 hingga 35 tahun.
Bagaimanapun pihak pendakwaan turut mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh pada peringkat awal prosiding.
Sementara itu peguam Kamarudin dalam hujahan mitigasi memohon mahkamah mempertimbangkan usia, tahap pendidikan, latar belakang sosial, tanggungan keluarga serta peluang tertuduh untuk berubah ketika menentukan hukuman.
Beliau berkata pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos perbicaraan, selain mengelakkan saksi serta keluarga mangsa daripada mengalami tekanan emosi akibat memberikan keterangan dan menjalani pemeriksaan balas dalam perbicaraan yang panjang.
Katanya tertuduh kini berusia 54 tahun dan pernah berkahwin namun isterinya meninggal dunia beberapa tahun lalu di Filipina.
Pasangan itu mempunyai dua orang anak yang kini dijaga oleh ahli keluarga tertuduh.






