SHAH ALAM - Alasan tidak sempat memperbaharui serta memiliki terlalu banyak kenderaan terlupa tempoh sah cukai jalan antara helah lima pemandu kereta mewah yang ditahan dalam Ops Luxury di Persiaran Setia Perdana, Setia Alam di sini pada Rabu.
Kesemua pemandu lelaki berusia antara 30 hingga 63 tahun terbabit ditahan dalam operasi bermula jam 10.56 pagi hingga 1.27 tengah hari.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, antara ditahan melibatkan pelbagai kenderaan mewah termasuk termasuk BMW, Mini Countryman, Denza, Tesla dan Toyota Alphard.
Menurutnya, semua kenderaan terbabit dikesan dalam perjalanan ke arah Setia Alam dan Seksyen 7 sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
"Pemeriksaan mendapati cukai jalan bagi kesemua kenderaan tersebut telah tamat tempoh antara satu hingga dua tahun selain tidak memiliki perlindungan insurans yang sah.
"Siasatan lanjut mendapati ada antara pemandu memberi alasan tidak mempunyai wang, tidak sempat memperbaharui selain memiliki terlalu banyak kenderaan sehingga tidak menyedari Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh,” katanya ketika pada Khamis.
Katanya, terdapat juga kenderaan yang digunakan adalah milik syarikat tempat salah seorang pemandu bekerja.
"Semakan lanjut turut mendapati dua daripada pemandu berkenaan mempunyai rekod kesalahan lampau dengan JPJ.
"Kesemua kenderaan terbabit telah disita dan dibawa ke JPJ Shah Alam untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, JPJ Selangor akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan semua kenderaan di jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.

