
NEW DELHI: Pemandu dan konduktor sebuah bas tidur ditahan kerana disyaki merogol secara berkumpulan seorang gadis berusia 16 tahun dari Uttar Pradesh, selepas memperdayakannya menaiki bas berkenaan di Greater Noida awal bulan ini.
Kedua-dua suspek kemudian didakwa menurunkan mangsa berhampiran Kashmere Gate, kata Polis Delhi pada Isnin.
Penahanan itu bagaimanapun mencetuskan pertikaian bidang kuasa apabila polis Uttar Pradesh mendakwa polis New Delhi gagal memaklumkan mereka mengenai kejadian itu, meskipun serangan seksual berkenaan didakwa berlaku dalam kawasan pentadbiran pesuruhjaya polis Gautam Buddh Nagar.
Menurut Polis Delhi, pelajar sekolah yang menetap di Mainpuri itu meninggalkan rumah pada 3 Ogos tanpa pengetahuan ibu bapanya selepas dimarahi ibunya kerana masalah pelajaran.
Dia dikatakan mahu ke rumah sepupunya di Sektor 63, Noida, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis (Utara), Niharika Bhatt.
Menurut seorang pegawai yang mengetahui siasatan itu, mangsa memberitahu polis dia tersalah turun di Pari Chowk ketika hari mulai gelap dan hujan turun.
Dia kemudian ternampak sebuah bas lalu memberi isyarat supaya berhenti. Konduktor bas itu didakwa memberitahunya bas berkenaan menuju ke Sektor 63 sebelum mangsa menaikinya.
Polis berkata, tiada penumpang lain berada di dalam bas berkenaan ketika kejadian. Menurut polis, sebaik bas mula bergerak, konduktor itu didakwa bertindak tidak senonoh terhadap mangsa sebelum dia bersama pemandu bas didakwa melakukan serangan seksual terhadap gadis berkenaan di dalam bas yang sedang bergerak.
Kedua-dua lelaki itu turut didakwa mengugut untuk membunuh mangsa apabila dia cuba melawan, kata polis.
Bas berkenaan menempuh perjalanan kira-kira 47 kilometer dari Pari Chowk di Greater Noida, tempat mangsa menaiki bas, hingga ke Ring Road berhampiran Terminal Bas Antara Negeri Kashmere Gate, lokasi mangsa diturunkan pada awal pagi 4 Ogos.
Polis berkata tingkap bas berkenaan dilitupi langsir, menyebabkan orang di luar sukar melihat apa yang berlaku di dalam.
“Masalah lebih besar ialah langsir ditutup ketika bas sedang bergerak. Tiada cara untuk mengetahui apa yang berlaku di dalam,” kata seorang pegawai.
Mangsa kemudian pergi ke balai polis Kashmere Gate, sebelum Polis Delhi membuka laporan maklumat pertamamengikut peruntukan berkaitan rogol berkumpulan, penculikan dan serangan seksual di bawah Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) serta Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO).
Pasukan Polis Delhi menganalisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menjejaki bas berkenaan ke sebuah kawasan parkir di Timarpur, kira-kira 15 minit dari Kashmere Gate. Kedua-dua suspek ditahan dalam tempoh empat jam, kata polis.- AGENSI
The post Pemandu, konduktor bas ditahan perkosa pelajar sekolah appeared first on Utusan Malaysia.
