Pemandu lori didakwa hentak kepala teman wanita pada stereng kereta

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 1:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kompleks Mahkamah Seremban.

 

SEREMBAN - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan menghentak kepala teman wanitanya pada stereng kereta, bulan ini.

Tertuduh, M Thibanrhaj, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas seorang wanita berusia 30 tahun dengan cara menghentak kepala pada bahagian stereng kereta.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 1.37 tengah hari di kawasan parkir hadapan sebuah klinik di Jalan Nusari Bayu 7/1, Taman Nusari Bayu 3, di sini, 8 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 10 tahun, atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana menanggung ibu yang mempunyai penyakit tiga serangkai serta nenek yang lumpuh dengan pendapatan sebagai pemandu lori.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan syarat tambahan selain menetapkan tarikh sebutan semula pada 15 April bagi laporan penuh perubatan.