Pemandu Lori Disyaki Penyebab Kemalangan Ngeri Ditahan

16 Oct 2022 • 9:48 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Seorang pemandu lori yang disyaki menjadi penyebab berlakunya kemalangan ngeri melibatkan lima kenderaan di Kilometer (km) 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan malam tadi ditahan polis.

Menurut Sinar Harian, pemandu lori terbabit disyaki menukar lorong di lebuh raya berkenaan sebelum berlaku kemalangan ngeri yang menyebabkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sehubungan itu penangkapan pemandu lori yang berusia 37 tahun terbabit disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tok Beng Yeow.

Katanya, kesemua individu terlibat dipanggil polis untuk memberi keterangan mengenai kemalangan membabitkan dua lori dan tiga kereta itu.

“Ya, pemandu lori telah ditahan polis. Dalam masa yang sama, kita turut memanggil kesemua individu yang terlibat bagi memberikan keterangan,” kata Beng menerusi Sinar Harian.

image is not available
Gambar: FB JPBM Johor

Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila sebuah Proton Preve melanggar belakang lori berkenaan yang sedang memandu di lorong kiri dari arah Air Hitam menghala Johor Bahru dari arah yang sama.

Bagaimanapun kemalangan itu berterusan apabila Preve berkenaan turut dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah belakang, sebelum Wira tersebut turut dilanggar sebuah lagi kenderaan yang tidak dikenal pasti dari belakang.

Namun dalam masa yang sama, datang pula sebuah lori lain dan melanggar Proton Wira serta kereta tidak dikenal pasti berkenaan sehingga kebakaran tercetus di lokasi kejadian.

Sehubungan itu seperti yang dilapor Sinar Harian, penumpang Proton Wira dan pemandu sebuah lagi kereta dipercayai cedera parah di bahagian dada dan kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat kebakaran itu.

Tambah Beng, mangsa lain iaitu pemandu Proton Preve, Wira dan lori masing-masing dilapor hanya cedera ringan, manakala pemandu lori lagi satu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai bagi tujuan bedah siasat dan kenderaan terlibat dibawa ke Puspakom Senai untuk pemeriksaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian