Pemandu lori kontena maut nahas 3 kenderaan

30 Jul 2024 • 10:45 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 44.1 Lebuhraya Utara Selatan, di Hulu Selangor pada Selasa.

image is not available
Anggota Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.

HULU SELANGOR - Seorang pemandu lori kontena maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 44.1 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 6.02 pagi.

"Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Ahmad Mukhlis berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori kontena, treler dan kereta Proton Persona.

"Seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga pemandu lori kontena telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Mangsa berjaya dibawa keluar oleh pihak bomba pada jam 6.51 pagi, dua lagi mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai," katanya.

Terdahulu, media melaporkan aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan laluan selatan dari arah Sungai Buaya ke Rawang sesak teruk akibat nahas tiga kenderaan tersebut.

Setakat jam 8.15 pagi tadi, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi akaun X @plustrafik memaklumkan kemalangan itu mengakibatkan kesesakan aliran trafik di kedua-dua arah.

Lorong kiri, tengah dan kanan arah selatan serta lorong kanan dan tengah arah utara masih terhalang.

Kerja pengalihan kenderaan kemalangan sedang dijalankan. Trafik sesak lapan kilometer arah selatan dan perlahan empat kilometer arah utara.

Berikutan kesesakan teruk yang berlaku, pihak PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan.