Pemandu lori maut dalam kemalangan babit 12 kenderaan di Lebuhraya Plus

23 Aug 2025 • 1:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

MUAR, 23 OGOS: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di KM129.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah selatan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata lelaki berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan dalaman bahagian badan akibat perlanggaran sesama sendiri 12 kenderaan terbabit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 7.30 pagi yang melibatkan enam lori, lima kereta dan sebuah van.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan di bahagian kiri lebuh raya.

“Ketika berhenti, lori berkenaan telah mengeluarkan asap sehingga menghalang penglihatan pemandu lain yang kemudiannya menyebabkan kenderaan lain yang berada di laluan itu berlanggar sesama sendiri," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata enam pemandu cedera ringan manakala yang lain tidak mengalami kecederaan.

Katanya ujian air kencing terhadap pemandu lori rosak itu tidak mengesan apa-apa bahan yang menyalahi undang-undang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved