Pemandu Lori Maut Kena Serangan Jantung Sebelum Rempuh Beberapa Kereta

LocalHealth & Fitness
23 Oct 2025 • 9:57 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
Pemandu Lori Maut Kena Serangan Jantung Sebelum Rempuh Beberapa Kereta

Seorang pemandu lori pembancuh simen maut dipercayai akibat serangan jantung sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan dan merempuh beberapa buah kereta serta tiang lampu di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Kubang Kerian, di sini semalam.

Pemandu lori hilang kawalan terkena serangan jantung

image is not available

Foto: Sinar Harian

Menurut laporan Sinar Harian, kejadian yang berlaku sekitar jam 1 tengah hari itu sempat dirakam oleh pengguna jalan raya lain dan tular di media sosial.

Saksi kejadian, Afisah Ibrahim berkata, ketika insiden berlaku, dia bersama dua anak lelakinya berusia empat dan tujuh tahun berhenti di sebuah kedai berhampiran untuk membeli pulut ayam.

image is not available

Foto: Sinar Harian

“Saya baru sahaja menjemput anak dari Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1. Kebetulan saya meletakkan kereta berdekatan lori tersebut dan sempat melihat kepala pemandu seperti tertunduk di atas stereng.

“Tidak lama kemudian, saya dengar orang ramai menjerit sebelum lori itu bergerak dan melanggar beberapa buah kereta serta tiang lampu,” katanya.

Menurutnya, ketika itu dia panik kerana lori berkenaan hampir .merempuh keretanya yang masih mempunyai dua anak di dalam.

“Syukur, kereta saya terselamat walaupun jaraknya sangat dekat. Saya segera menghubungi talian kecemasan kerana bimbang keselamatan pelajar sekolah berhampiran memandangkan waktu itu ramai yang baru pulang,” ujarnya.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan bukan kemalangan maut. Siasatan lanjut masih dijalankan,” jelasnya.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)