
Kota Kinabalu: Seorang pemandu lori, yang merosakkan pelindung kaunter akrilik lutsinar di Lapangan Terbang Kota Kinabalu (KKIA) di sini awal bulan ini, dipenjara 13 bulan.
Stanlyesyam Lucas, 37, mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles kerana melakukan khianat dengan merosakkan dua unit pelindung kaunter akrilik lutsinar milik Malaysia Airport Berhad, membabitkan kerugian RM1,000, di kaunter daftar masuk A, Syarikat Penerbangan Antarabangsa, tingkat tiga, Balai Berlepas di KKIA pada jam 11.30 pagi 3 Julai.
Inspektor Kelvan Elson Maik, yang menjalankan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa polis menahan seorang lelaki, yang kemudian dikenal pasti sebagai Stanlyesyam di tempat tersebut selepas menerima maklumat awam mengenai seorang lelaki yang mengamuk di situ.
Hasil pemeriksaan rakaman CCTV mendapati, sebelum kejadian, Stanlyesyam dilihat datang ke kaunter Kastam dan terus ke Kaunter A dan tiba-tiba menghampiri kaunter daftar masuk dan menolak pelindung kaunter tersebut, yang kemudiannya pecah.
Mahkamah juga mendengar bahawa Stanlyesyam sebelum ini dilihat tiba di lapangan terbang dengan sebuah motosikal, meletakkannya di tempat letak motosikal dan duduk selama sejam di dewan menunggu dan tidak bercakap dengan sesiapa.
Peguam dilantik Lim Ming Zoong @ Lawrence, yang mewakili Stanlyesyam, memohon hukuman ringan atas alasan dia sudah berkahwin dengan empat anak dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya.
Stanlyesyam turut mengaku kepada mahkamah bahawa ketika itu dia berada dalam keadaan tertekan kerana hal keluarga.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes lain, seorang mekanik warga Indonesia dipenjara enam bulan kerana membantu melarikan satu telefon bimbit yang dicuri.
Lucas Rimba Andreas, 36, mengaku melakukan kesalahan itu yang melibatkan telefon bimbit milik Jesse Yong di hadapan sebuah bengkel di Putatan pada 4 Feb tahun ini.
Mahkamah mendengar daripada pihak pendakwaan bahawa telefon bimbit itu dilaporkan dicuri di Penampang pada 31 Jan.
Lucas didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 24 tahun dipenjara empat hari dan denda RM1,500 atau empat bulan penjara kerana menceroboh sebuah rumah burung walit di Inanam.
Rayner Dungkis mengaku bersalah menyelinap masuk ke dalam rumah burung walit milik James Yong di Kg Bantayan pada jam 5.05 pagi 17 Julai.
Pertuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah mendengar daripada pihak pendakwaan bahawa Rayner merupakan bekas pekerja di rumah burung walit itu dan ditangkap di dalamnya ketika cuba untuk mencuri sarang burung, dan kemudiannya diserahkan kepada polis.
Peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali yang mewakili Rayner memohon hukuman ringan atas sebab tiada kerugian berlaku memandangkan sarang burung itu dikembalikan kepada pemiliknya, selain tertuduh mempunyai mempunyai dua tanggungan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


