LIPIS – Pemandu treler yang membawa muatan batu kapur maut selepas kenderaan itu terbalik ketika melalui selekoh sebelum bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 18, Jalan Lipis-Jerantut berhampiran Kampung Lentang di sini pada Khamis.
Dalam kemalangan yang melibatkan tiga kenderaan kira-kira jam 2.28 petang itu, mangsa, Shafik Fanzi Rosli, 41, yang beralamat di Taman Bukit Katil Jaya, Melaka, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, pemandu lori jenis Isuzu berusia 51 tahun cedera, manakala seorang wanita berusia 27 tahun yang memandu kereta Honda Jazz tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu treler jenis Foton dipercayai dalam perjalanan dari Gua Musang ke Mentakab untuk menghantar muatan batu kapur.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa melalui satu selekoh tajam, treler terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbalik sebelum bertembung dengan lori Isuzu yang datang dari arah bertentangan.
"Difahamkan pemandu lori Isuzu itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9 dari arah Kerambit, Kuala Lipis," katanya.
**media[3461812]**
Ismail berkata, Honda Jazz yang berada di belakang lori itu turut terbabit selepas pemandunya gagal mengelak kemalangan di hadapannya.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat, manakala pemandu lori yang cedera juga dibawa menerima rawatan di hospital sama.
"Kes itu masih dalam siasatan pihak polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Ismail meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.


