Pemandu Myvi maut nahas libatkan lori balak

10 Mar 2023 • 11:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan tersebut di Jalan Temerloh-Karak pada awal pagi Jumaat.

TEMERLOH - Seorang lelaki maut akibat tersepit selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori balak di Jalan Temerloh-Karak pada Jumaat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, seorang lagi lelaki iaitu penumpang kereta tersebut mengalami kecederaan.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 pagi mengenai kejadian tersebut.

"Seramai lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

"Sampai di lokasi mendapati terdapat kemalangan melibatkan dua kenderaan dan terdapat dua lelaki dewasa iaitu seorang mengalami kecederaan telah keluar sendiri dari kenderaan.

"Seorang lagi lelaki pula tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi dan pasukan memulakan operasi dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersebut," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, operasi mengeluarkan mangsa itu mengambil masa kira-kira 30 minit.

"Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelas Zulfadli.