Pemandu Myvi maut rempuh treler berhenti di bahu jalan

LocalCars
29 Dec 2024 • 6:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa iaitu pemandu kereta Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Foto FB Aki Ha

BENTONG - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh bahagian belakang treler yang berhenti di bahu jalan di Kilometer (KM) 12 dekat Lingkaran Tengah Utama (LTU) arah barat dari Raub menghala ke bulatan LTU Mempaga di sini awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan treler.

Menurutnya, mangsa dikenali Muhammad Faris Kamari, 34, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dari Kelantan hendak menuju ke Melaka tiba-tiba hilang kawalan.

"Situasi itu menyebabkan kereta tersebut terus melanggar bahagian belakang lori treler yang berhenti di bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, kemalangan itu menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian manakala isteri berusia 33 tahun bersama dua anak iaitu kanak-kanak lelaki berusia 9 dan perempuan berusia 4 tahun mengalami kecederaan.

Jelas beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.

"Isteri dan anak mangsa juga telah dibawa ke Hospital Bentong bagi tujuan mendapatkan rawatan," tambahnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.