Pemandu Perodua Kembara larikan diri selepas rempuh dua kenderaan

LocalCars
29 Jun 2026 • 10:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemandu Perodua Kembara larikan diri selepas rempuh dua kenderaan
Tular video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melulu mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan.
Image from: Pemandu Perodua Kembara larikan diri selepas rempuh dua kenderaan
Tular video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara melulu mengakibatkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan.

PETALING JAYA - Seorang individu memandu secara berbahaya sehingga merempuh dua kenderaan lain sebelum bertindak melarikan diri dalam kejadian tular di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur, 20 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung kejadian itu di media sosial pada jam 7.45 malam Ahad.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.10 petang membabitkan sebuah Perodua Kembara yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 59 tahun dari arah Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit disyaki memandu secara berbahaya sebelum melanggar sebuah kereta dan sebuah motosikal.

"Selepas kemalangan, pemandu berkenaan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[3565678]**

Menurut beliau, penunggang motosikal yang cedera ringan dibawa ke Hospital Sunway untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, polis kini sedang mengesan pemandu Perodua Kembara terbabit yang menghilangkan diri bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya, Sarjan Kumaran Murugaya di talian 03-79662222 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.

"Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video memaparkan sebuah Perodua Kembara dipandu secara berbahaya di Lebuhraya Persekutuan sebelum merempuh sebuah kereta dan sebuah motosikal sebelum pemandunya melarikan diri dari lokasi kejadian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved