Pemandu Proton Iriz cedera terkena tayar lori tercabut

22 May 2024 • 4:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular memaparkan keadaan Proton Iriz yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung hadapan.

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki cedera akibat tersepit selepas tayar lori yang tercabut terkena kereta dipandunya di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada Isnin.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Izan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 7.06 pagi.

"Seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Izan berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati tayar sebuah lori tercabut lalu terkena dua buah kereta iaitu jenis Proton Iriz dan Proton Saga.

"Pemandu kereta Proton Iriz tersepit dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.41 pagi oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik.

"Mangsa dalam keadaan sedar itu diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 13 saat memaparkan kenderaan Proton Iriz yang dipandu mangsa terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung hadapan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!