TELUK INTAN – Pemandu kereta yang dipercayai menyebabkan kemalangan mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak di sini pada Ahad disahkan positif dadah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, perkara itu disahkan hasil saringan awal air kencing terhadap lelaki tempatan berusia 28 tahun itu.
Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh bahan terlarang.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.35 petang apabila kereta dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
"Kereta itu kemudian melanggar sebuah motosikal, sebuah lagi kereta yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
**media[3595855]**
Katanya, pemandu kereta itu bersama kanak-kanak lelaki yang turut terlibat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan berkaitan dadah dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan," katanya.
Sehubungan itu, Chua meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu media melaporkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Padang Tembak di sini petang semalam.
Difahamkan mangsa yang maut dikenali Nur Dania Arissa, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia dan SMK Raja Muda Musa.




