Selepas laungan ‘Turun Anwar’ bergema di Dataran Merdeka minggu lalu, kini giliran penyokong Perdana Menteri pula turun ke jalan, kali ini atas nama ‘Kekal Anwar’.
Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) merancang menganjurkan perhimpunan aman pada 27 September di lokasi sama bagi menyatakan sokongan terbuka terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduan.
Presiden GTSM, Kamarudin Hussain berkata himpunan itu bertujuan menunjukkan rakyat masih bersama Anwar dalam usaha membawa pembaharuan dan kestabilan negara.
“Kami mungkin hanya pemandu teksi, tetapi kami juga rakyat yang sayangkan negara. Kami yakin kepimpinan Anwar adalah jalan terbaik untuk masa depan yang lebih adil dan makmur,” katanya.
Baca juga:
Jemput Anwar hadir, seru rakyat bersatu
Kamarudin yang juga ahli PKR dan bekas ketua cabang Selayang turut mengundang Anwar secara rasmi ke perhimpunan itu, sambil menyeru pelajar, masyarakat sivil dan parti-parti komponen kerajaan perpaduan untuk bersama-sama hadir.
Katanya suara majoriti rakyat yang senyap perlu diberi ruang untuk bersuara, bukan sekadar membiarkan pentas awam dimonopoli pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan.
“Kami harap mesej ini sampai bukan saja kepada rakyat Malaysia, tapi juga kepada dunia bahawa negara ini masih ada harapan jika kita bersatu,” ujarnya.
Sumber: Free Malaysia Today
The post Pemandu teksi mahu ‘Kekal Anwar’, rancang himpunan balas 27 Sept appeared first on The Reporter.



