Pemandu tertekan pedal minyak punca pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh depan surau sekolah - Polis

12 Apr 2026 • 6:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu pemandu wanita yang dipercayai tertekan pedal minyak dalam kejadian di hadapan surau Sekolah
image is not available
Seorang pelajar yang dikenali sebagai Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KOTA BHARU – Seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta dipandu pemandu wanita yang dipercayai tertekan pedal minyak dalam kejadian di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, kedua-dua mangsa dilaporkan berada di hadapan surau berkenaan bagi memakai kasut sebelum dirempuh kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 2.15 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita di dalam kawasan sekolah dipercayai tertekan pedal minyak sebelum hilang kawalan.

"Kereta tersebut kemudian terbabas ke hadapan dan melanggar dua pelajar yang berada di hadapan surau sekolah berkenaan sebelum turut merempuh tiang batu surau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

**media[3489375]**

Beliau memberitahu, akibat kemalangan itu, seorang pelajar yang dikenali sebagai Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar USM) Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.

"Seorang lagi pelajar mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)," katanya.

Menurut beliau, pemandu kenderaan terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujar beliau sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau menghubungi talian 09-7752315.