Pemandu treler nahas 14 kenderaan didakwa

25 Sep 2023 • 11:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Izzatul Shafik dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin, bagi menghadapi pertuduhan kes kemalangan sehingga mengorbankan dua nyawa, minggu lalu.

PUTRAJAYA - Seorang pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan membabitkan 14 kenderaan sehingga mengorbankan dua nyawa didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Muhammad Izzatul Shafik Mozahari mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Amalina Abu Hanifah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 namun lelaki berusia 29 tahun yang tidak diwakili peguam, merayu kadar berkenaan dikurangkan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.

Sebutan semula kes ini ditetapkan pada 25 Oktober depan.

Pada Rabu minggu lalu, Sinar Harian melaporkan, dua penunggang motosikal maut manakala tujuh cedera dalam kemalangan membabitkan treler muatan batu pasir di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong di sini.

Kemalangan pada jam 10.15 pagi itu, membabitkan 14 kenderaan iaitu treler, tujuh kereta dan lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik.

Dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dikenal pasti sebagai Faris Haziq Abu Bakar, 25, pekerja Pos Malaysia dan Yuswar Mohd Uyus, 39, pekerja di Mahkamah Ampang.

Menurut pihak polis, berdasarkan siasatan awal, pemandu treler berusia 25 tahun itu mendakwa tidak sempat memberhentikan kenderaan itu.

Polis berkata, pemandu treler itu tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.

LAGI MENYUSUL