Bulan ini menandakan 22 bulan jenama kenderaan elektrik BYD sudah bertapak di Malaysia, menerusi pengedarnya iaitu Sime Darby Beyond Auto. Dalam tempoh ini juga menyaksikan pelbagai kereta elektrik yang mereka tawarkan, dan hari ini mereka telah mengumumkan BYD M6 yang tergolong dalam kelas kenderaan pelbagai guna (MPV – Multi Purpose Vehicle).

Untuk pasaran Malaysia, MPV mempunyai tarikannya tersendiri kerana mampu melakukan pelbagai perkara, lebih dari sekadar membawa penumpang yang ramai. Ini juga ditambah dengan terdapatnya keluarga yang mempunyai ramai anak mahupun saudara-mara, atau digunakan sebagai kenderaan syarikat yang turut mampu memuatkan muatan yang pelbagai. Model-model MPV kekal popular dari dahulu sehingga sekarang seperti Proton Exora, Perodua Alza, Honda BRV, Toyota Unser, Avanza, Innova, Mitsubishi Xpander dan bermacam lagi.


Justeru apabila BYD M6 diperkenalkan hari ini, dengan harga bermula RM 109,800, saya rasakan ia mampu memberikan saingan sengit kepada MPV lain di pasaran, walaupun BYD M6 merupakan MPV elektrik yang perlu menjawab stigma dan tanggapan buruk pengguna terhadap kenderaan elektrik. MPV ini mungkin mengambil masa yang lama untuk mengecas penuh, memandangkan ia hanya mempunyai pengecasan AC 7kW, dan pengecasan pantas DC yang membolehkan 10%-80% dalam masa 40 minit, sedikit berbeza berbanding kebanyakan model di pasaran yang biasanya memberikan tempoh masa 30 minit untuk pengecasan dari 10%-80%

BYD M6 ditawarkan pada dua versi, dengan versi Standard mempunyai bateri sebesar 55.4 kWh yang memberikan jarak perjalanan 420KM NEDC dengan kadar pengecasan DC 89 kW, kuasa motor elektrik 120kW yang membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 10.1 saat. Versi Extended memberikan jarak perjalanan lebih jauh iaitu 530 KM NEDC kerana mempunyai bateri 71.8 kWh yang menyokong kadar pengecasan DC 115kW. Ia juga mempunyai motor elektrik yang memberikan kuasa 150 kW membolehkan pecutan 0-100km/j dalam masa 8.6 saat. Kedua-dua model ini hanya menggunakan satu motor elektrik yang diletakkan di gandar hadapan.

Melihat dengan lebih dekat lagi, saya berpeluang mencuba untuk memandu BYD M6 Extended dalam masa singkat, dibawa memandu sekitar Stadium Shah Alam dan juga menerusi litar singkat. Apa yang sangat mengujakan ialah fungsi-fungsi yang pelbagai pada EV ini yang memberikan keselesaan, dan ditawarkan pada lebih rendah berbanding pesaing. BYD M6 versi Extended ditawarkan pada harga RM 123,800 dan pada harga tersebut, petanda awal yang saya dapati adalah adanya pengudaraan tempat duduk untuk pemandu dan penumpang hadapan, bumbung lutcahaya, tetapan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan secara elektronik, dan juga sistem keselamatan yang canggih.


Dari segi paparan antaramuka dan pemanduan, paparan pemanduan dilihat bagaikan paparan yang berusia, dan mempunyai sama perasaan bagaikan paparan Toyota Corolla Altis, dengan bahagian tengah LED penuh, diapit oleh meter analog yang memaparkan kelajuan dan status penggunaan tenaga atau pengecasan yang terhasil dari pembrekan janaan semula. Jika anda pernah memandu kereta hibrid yang tidak mempunyai paparan LCD penuh, paparan yang digunakan BYD M6 ini mempunyai format atau gaya paparan yang sama.


Dari segi pemanduan, untuk saya yang pernah memandu kenderaan besar seperti Isuzu DMax dan Proton Exora, terdapat stigma peribadi yang mungkin membawa MPV adalah besar dan mungkin sukar dikendalikan. Namun perkara ini jauh berbeza apabila memandu EV kerana keupayaan tenaga yang pantas diberikan untuk menggerakkan kenderaan ini membolehkan pemanduan yang lebih responsif.
Malah dari segi ujian singkat, pihak BYD turut membolehkan pengulas menguji betapa mudahnya melakukan pergerakan parkir ditambah lagi dengan fungsi kamera 360 darjah yang membolehkan pemandu melihat segenap sudut sewaktu masuk ke ruangan parkir.


Memandangkan sesi pandu uji ini terlalu singkat, iaitu sekitar 20 minit, tidak banyak perkara lain yang dapat dicuba seperti jangkaan jarak perjalanan, kecekapan tenaga untuk perjalanan jauh dan juga muatan penuh, fungsi-fungsi swapandu lebih canggih ditawarkan hanya pada versi Extended, dan bermacam lagi. Namun untuk tempoh pendek ini juga, boleh saya katakan yang BYD M6 perlu dicuba oleh mereka yang sedang mencari MPV.


Anda boleh hadir ke pameran BYD M6 di Dataran Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam dari 18-20 Oktober dan dalam tempoh ini, 100 penempah terawal akan menerima kredit pengecasan Gentari sebanyak RM 800, manakala 300 tempahan awal seluruh Malaysia akan menerima unit pengecas EV rumah.
- Beli: BYD M6
