Sebut sahaja mengenai enjin Hibrid, pastinya ramai yang tahu kereta-kereta hibrid popular di pasaran tempatan. Honda Malaysia menawarkan pelbagai kenderaan mereka dengan enjin hibrid, dengan versi RS e:HEV untuk model-model terpilih. Bulan Ogos yang lalu saya berkesempatan memandu Honda City Hatchback RS e:HEV dan kali ini saya berkesempatan untuk memandu dua model dalam keluarga SUV mereka, iaitu CR-V dan HR-V dengan kedua-duanya adalah versi RS e:HEV.

Apabila bercakap mengenai keluarga SUV Honda, kedua-dua model CR-V dan HR-V adalah model yang sangat ikonik dan digemari rakyat Malaysia. Malah HR-V merupakan satu model yang sangat popular sekitar tahun 2015 kerana rekaan dan fungsi yang sangat praktikal dipadankan dengan harganya yang tidaklah terlalu mahal. Kini setelah beberapa generasi, kedua-dua model ini telah mula dipasang di Malaysia (CKD) dengan pelbagai teknologi terkini.

Untuk acara pemanduan kedua-dua model ini akan dilakukan dari Putrajaya ke Janda Baik, sebelum pulang semula ke Putrajaya dan sedikit berbeza dengan acara pemanduan sebelum ini, kali ini Honda Malaysia membawa delegasi media untuk menyertai aktiviti pemanduan di ruang parkir MAEPS bagi membolehkan peserta mencuba dan mengalami sendiri fungsi-fungsi keselamatan pada siri SUV mereka. Terdapat 4 ujian pemanduan yang dilakukan iaitu ujian ‘slalom’, ujian brek ABS, ujian kewaspadaan dan juga ujian selekoh tajam yang akan meletakkan kenderaan ini dalam keadaan yang ekstrim.
Paling menarik untuk saya adalah sewaktu ujian brek ABS, dimana kami diberikan peluang untuk mengetahui perbezaan sekiranya ABS tidak berfungsi. Fungsi ABS iaitu Anti-Lock Braking System merupakan fungsi yang mencegah tayar dari terkunci sewaktu membrek dalam keadaan cemas. Apabila brek ‘terkunci’, ia boleh mengakibatkan kenderaan hilang kawalan dengan lebih teruk, dan turut berpotensi membuatkan kenderaan terbalik kerana inersia yang gagal dikawal. ABS mencegahnya dengan melakukan pembrekan berkali-kali dengan pantas, sekaligus membolehkan kenderaan dikawal.
Dalam ujian untuk merasai apa akan jadi apabila ABS dimatikan, saya yang memandu Honda HR-V perlu memandu sekitar 40 km/j dan menekan brek dengan sekuatnya apabila melakui kawasan licin. Kereta ini dilihat berpusing dalam satu arah kerana ujian ini juga dilakukan dalam situasi terkawal, dan hanya sebelah bahagian tayar yang terkena permukaan licin. Sungguhpun begitu, ia masih stabil dan tiada sebarang kemalangan berlaku. Ujian selekoh seterusnya dilakukan, dan kawalan tidak gagal berkat dari teknologi ESC (Electronic Stability Control).

Pemanduan Honda CR-V Yang Selesa Dengan Honda Sensing

Untuk dua hari acara media ini dijalankan, saya telah memulakan pemanduan pergi dengan Honda CR-V dan pulang menggunakan Honda HR-V. Untuk perjalanan pergi saya telah mencuba fungsi-fungsi yang ditawarkan menerusi Honda Sensing seperti Adaptive Cruise Control yang membolehkan kelajuan pemanduan ditetapkan mengikut kenderaan hadapan dan Lane Keep Assist System yang membolehkan posisi kenderaan ditetapkan mengikut lajur haluan. Kombinasi kedua teknologi ini membuatkan pemanduan jarak jauh sangat selesa, ditambah lagi manfaat enjin Hibrid yang menjimatkan tenaga, dan hanya menggunakan kuasa petrol apabila mencapai kelajuan tinggi.


Untuk pemanduan ke Janda Baik, saya menggunakan mod pemanduan Normal dan kesemua maklumat ini jelas dipaparkan pada paparan pemandu bersaiz 10.2-inci. Paparan yang kemas ini turut menunjukkan situasi bateri serta pengaliran tenaga, tetapan dan jarak menerusi sistem Adaptive Cruise Control, kedudukan kereta menerusi sistem Lane Keep Assist dan juga ia masih boleh memaparkan pengguna lain seperti penunggang motor menerusi Honda Sensing.

Kesemua maklumat ini juga akan dipaparkan menerusi paparan terimbuh (Heads Up Display) yang besar, dan cukup maklumatnya. Anda juga boleh mengaktifkan paparan pengaliran tenaga menerusi paparan inforia 9-inci yang turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Dalam perjalanan ke Janda Baik, saya turut duduk di bahagian penumpang belakang Honda CR-V dan menikmati ruangan tempat duduk yang sangat lapang dan selesa. Ruangan belakang dilengkapi dengan corong pendingin hawa, 2 palam kuasa USB-C, dan juga pembesar suara Bose yang memberikan audio berkualiti. Dari segi ruang letak kaki dan ketinggian bumbung, ia dilihat dapat memberikan ruang yang luas dan selesa.

Pemanduan Honda HR-V Dengan B Mode

Untuk perjalanan pulang ke Putrajaya, saya memandu Honda HR-V dan untuk pusingan pertama dari Janda Baik ke Gombak, saya telah mengaktifkan B Mode bagi mencuba penggunaan yang berbeza. B Mode adalah mod khas yang melebihkan pembrekan dan untuk versi RS e:HEV, pembrekan ini juga akan mengecas semula bateri hibrid kereta ini. Saya dapati ia mempunyai corak pemanduan bagaikan kereta elektrik, dimana bateri cepat dipenuhkan semula.


Sewaktu mendaki Genting Sempah, saya telah menggunakan banyak kuasa bateri untuk pecutan mendaki, sebelum bateri tersebut dicas semula kerana menuruni puncak. Dalam tempoh 21 minit perjalanan sejauh 16km saya memandu dalam mod Normal dan banyak masa saya melihat lampu label ‘EV’ menyala, menandakan yang saya memandu menggunakan kuasa bateri.

Berbeza dengan CR-V, HR-V mempunyai paparan pemanduan yang menggabungkan meter mekanikal dan paparan pelbagai informasi. Jadi informasi berkenaan pengaliran tenaga masih mudah dipaparkan, dan pemandu masih boleh memilih paparan lain untuk dilihat bersama. Dan salah satu perkara baharu yang terdapat pada HR-V adalah corong pendingin hawa yang kini hadir dengan pilihan ‘diffuser’ yang menghasilkan bayu dingin, dan bukannya angin secara terus.

Apa yang dilakukan oleh diffuser ini adalah ia membuatkan udara persekitaran lebih sejuk, tanpa menghalakan udara terus kepada permukaan kulit pengguna. Ini kerana udara dingin yang terus dihalakan kepada pengguna akan merengsakan permukaan kulit, dan menjadikan situasi yang tidak selesa. Pilihan diffuser ini hanya terdapat pada HR-V versi baharu.

Selepas menukar pemandu, perjalanan diteruskan pulang ke Putrajaya dan untuk saya yang turut merasai ruang belakang, Masih terdapat corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, beserta dua palam pengecasan USB-A untuk memastikan penumpang belakang masih dapat mengecas peranti mereka.

Manfaat Pemanduan e:HEV
Setibanya di Putrajaya, saya dapati kami hanya menggunakan 1 senggat minyak. Ini merupakan satu penjimatan yang sangat tinggi memandangkan kereta ini dipandu ke kawasan berbukit dan menyerlahkan potensi enjin ini. Enjin e:HEV ini juga kebanyakan masa mempunyai penggunaan minyak yang rendah, iaitu 4.1 L / 100 KM untuk HR-V, manakala 5.0 L / 100 KM untuk CR-V. Kedua-dua kadar penggunaan ini adalah jauh lebih rendah untuk versi lain dalam kedua-dua model ini.

Untuk versi RS e:HEV, enjin hibrid ini akan banyak menggunakan kuasa elektrik yang dijana baik dari pembrekan janaan semula, ataupun dari janakuasa yang menjana elektrik bagi penggunaan elektrik sepenuhnya. Hanya apabila kenderaan ini mencapai kelajuan 100 km/j keatas, akan menggunakan kuasa yang dihasilkan dari pembakaran petrol. Justeru anda mungkin hanya akan mendengar bunyi enjin apabila dalam keadaan kelajuan tinggi.

Sepanjang dua hari yang singkat ini saya masih boleh simpulkan yang kedua-dua SUV ini menawarkan pemanduan yang memberangsangkan ditambah lagi dengan penjimatan petrol yang sangat tinggi meskipun memandu di kawasan berbukit. Ini dilengkapkan lagi dengan pelbagai fungsi, kecanggihan dan keselesaan yang Honda tawarkan, dari ciri Honda Sensing, integrasi aplikasi Honda Connect yang memudahkan pemantauan status kereta, dan ditawarkan pada nilai yang masih dalam jangkauan rakyat tempatan.


Honda HR-V RS e:HEV dijual pada harga RM 141,900 sementara Honda CR-V RS e:HEV dijual pada harga RM 195,900. Jika anda mencari SUV dengan fungsi penjimatan Hibrid yang tinggi, anda mungkin boleh memilih antara dua model ini.
