Sewaktu Proton e.MAS 7 dilancarkan pada Disember 2024, saya telah menyertai sesi pandu uji dan juga konvoi mereka ke beberapa negeri. Selang setahun kemudiannya Proton e.MAS 7 versi PHEV mula ditawarkan, dengan teknologi yang merupakan gabungan tenaga petrol dan juga elektrik dan baru-baru ini berkesempatan menyertai konvoi media dari Shah Alam ke Pulau Langkawi bagi mencubanya sendiri.

Perjalanan konvoi ini dicipta untuk memperlihatkan potensi Proton e.MAS 7 PHEV bagi perjalanan jarak jauh, dan lebih menarik lagi adalah kami juga akan membawa naik Proton e.MAS 7 ke Pulau Langkawi menaiki feri pengangkutan Ro-ro (Roll-on Roll Off) dan ia bukanlah gimik semata, tapi terdapat sebab kenapa kami menaiki feri tersebut. Untuk konvoi kali ini, kami menggunakan Proton e.MAS 7 PHEV versi Premium, yang mempunyai bateri lebih besar, namun tidak mempunyai bumbung panorama lutcahaya seperti yang ada untuk versi Premium Plus.
Rekaan & Spesifikasi
Proton e.MAS 7 PHEV ini sekali pandang mungkin tampak tidak jauh berlainan dari Proton e.MAS 7. Namun untuk mereka yang bermata helang, pasti dapat membezakannya bermula dari rekaan lampu hadapan yang tidak lagi tirus dan tidak mempunyai lampu projektor bersama, kerana ia diasingkan kebawah. Kemudiannya terdapat lampu LED yang bersambung pada muncung keduanya. Jalur lampu ini juga bertindak sebagai DRL / Lampu Nyalaan Siang.

Untuk tayar pula sama saiznya iaitu 19-inci 235/50 R19 namun dengan rekaan rim berlainan. Di belakang pula masih tidak jauh bezanya dengan Proton e.MAS 7, hanya terdapat label PHEV. Satu lagi perbezaan adalah dari segi pemegang pintunya yang bukan lagi tersorok seperti e.MAS 7, akan tetapi seperti pemegang pintu biasa.
Dari rekaan dalaman juga saling tidak tumpah sama seperti Proton e.MAS 7 yang asal. Sistem inforia juga menyokong tambatan Apple Carplay dan Android Auto secara nirwayar. Perbezaan hanyalah terdapat apabila anda melihat paparan pemanduan yang kini menyertakan dua sumber kuasa, iaitu petrol dan elektrik.

Dengan gabungan kuasa petrol dan elektrik, Proton e.MAS 7 PHEV ini memanfaatkan enjin hibrid 11-dalam-1 bagi memberikan kuasa 193 kW & 262 Nm tork dengan kelajuan maksimum 175 km/j dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8 saat. Walaupun dari segi angka dilihat lebih masa diambil berbanding versi EV yang boleh memecut sepantas 7 saat, perbezaan 1 saat itu boleh dikatakan agak minimal. Dengan berkat tangki petrol sebesar 51 Liter dan kapasiti bateri untuk versi Premium ini adalah sebesar 18.4 kWh, ia boleh pergi sejauh 1065 KM NEDC secara hibrid, atau 105 KM NEDC secara elektrik sepenuhnya.

Prestasi Pemanduan Semaksimum Mungkin
Proton e.MAS 7 PHEV mempunyai perwatakan pemanduannya yang tersendiri dimana ia mempunyai empat situasi dalam memilih pemanduan. Sekiranya anda memandu untuk jarak dekat atau dalam bandar, ia akan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Jika anda mencapai kelajuan 80 km/j, enjin petrol akan mula beroperasi secara tunggal bagi memaksimumkan kecekapan tenaga. Dan pada kebanyakan masa tenaga petrol akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik, yang kemudian disalurkan sebagai tenaga pemanduan.

Pemandu boleh memilih dari tiga jenis mod pemanduan. Mod pemanduan Pure akan mengkhususkan penggunaan tenaga elektrik terlebih dahulu, manakala mod pemanduan hibrid adalah gabungan kedua tenaga elektrik dan petrol. Mod Power pula memberikan kuasa penuh terus dari Petrol.
Sewaktu kami bertolak dari Proton Centre of Excellence, kami mempunyai tenaga penuh untuk keduanya yang memberikan jarak perjalanan yang jauh, dengan jarak tenaga elektrik adalah 96km manakala jarak tenaga petrol adalah 895 km. Kemudiannya kami mula memandu laju, bagi memastikan kami sempat sampai pada masanya ke Jeti Kuala Perlis. Untuk saya yang memandu dari Proton Center of Excellence sehingga ke Tapah, banyak masa saya telah mencapai kelajuan maksimum

Pada mulanya, pemanduan secara elektrik digunakan sehinggalah bateri mencapai 25% dimana ia adalah tahap akhir sebelum ia menggunakan kuasa petrol sepenuhnya. Sewaktu pemanduan yang agresif ini, boleh dikatakan terdapat beza sewaktu tenaga elektrik atau tenaga petrol digunakan, dan ia dapat didengar dengan jelas dari bunyi enjin. Apabila kereta mencapai kelajuan melebihi 80 km/j, enjin petrol akan berfungsi sepenuhnya bagi memberikan kuasa. Pujian harus diberikan kerana had laju maksimum setinggi 175 km/j juga memberikan lebih ruang untuk pemandu memecut sewaktu memotong dengan pantas.

Paparan tenaga yang ditunjukkan pada skrin inforia jelas sekali menunjukkan gabungan jarak perjalanan yang ada, dan juga jarak yang diberikan oleh setiap tenaga. Saya sampai ke kawasan rehat Tapah dengan jarak tenaga elektrik berbaki 19% / 0 KM, namun jarak tenaga petrol masih berbaki 88% / 763KM. Untuk jarak sejauh 152KM ini, saya telah menggunakan tenaga petrol sekitar 9L/100km, manakala tenaga elektrik pula sekitar 1.1 kWh / 100km.


Paparan pemanduan juga memberikan maklumat yang berguna, dimana graf yang dipaparkan jelas dapat memberitahu pengguna sewaktu tenaga elektrik digunakan, atau sewaktu tenaga petrol digunakan. Malah janaan tenaga semula turut dipaparkan sekaligus mempersembahkan kecekapan enjin hibrid yang dibangunkan Geely.

Perjalanan diteruskan dengan dua rakan media yang lain mengambil giliran sehinggalah sampai ke Jeti Kuala Perlis dengan tenaga elektrik berbaki 15% / 0KM dan tenaga petrol berbaki 14% / 127 KM. Kami sampai ke Jeti Kuala Perlis dengan jarak perjalanan yang telah ditempuh sejauh 521.5KM, termasuklah pergi bergambar di lokasi terpilih di Perlis. Selesai mendarat di Langkawi, pihak Proton telah mengisi semula petrol, namun tidak melakukan pengecasan semula bagi menunjukkan satu lagi kebolehan yang ada pada Proton e.MAS 7 PHEV.

Suspensi Yang Ditala Lebih Baik Dari Proton e.MAS 7

Sewaktu saya menguji Proton e.MAS 7 tahun lepas, saya merasakan yang mana suspensinya lebih kearah lembut. Ia mungkin direka untuk keselesaan namun keadaan jalanraya di Malaysia mungkin boleh membuatkan penumpang berasa kurang selesa dan memberikan pengalaman berbeza. Untuk Proton e.MAS 7 PHEV, ia membawakan talaan suspensi yang lebih teguh, selesa dan stabil, dengan masih ada sedikit ‘body roll’ namun tidaklah memberikan kesan besar. Keadaan ini jelas sekali dicuba sewaktu memandu sekitar Pulau Langkawi yang mempunyai jalan-jalan berliku.

Fungsi Mengecas Sendiri Yang Diaktifkan Sewaktu feri RORO pulang

Sewaktu pulang, dengan tenaga petrol yang masih banyak, kami mengaktifkan fungsi pengecasan sendiri yang ada pada Proton e.MAS 7 PHEV ini. Fungsi ‘Self-Charging’ ini akan menghidupkan enjin bagi menjana elektrik pada kadar 3.5 kW namun hanya boleh diaktifkan sewaktu kereta berada dalam keadaan pegun. Sepanjang 1 jam 30 minit menaiki feri ini, kami mengaktifkan fungsi ini untuk beberapa tempoh namun mungkin disebabkan kami turut mengaktifkan penyaman udara untuk melakukan kerja dalam kereta, jadi kami hanya mendapat sekitar 6% kenaikan tenaga, dan saya percaya ia bukan peratusan yang tinggi naik hasil dari pengecasan ini.
Perjalanan Pulang Mencapai 0 KM Berbaki Untuk Petrol dan Elektrik

Kami pulang ke Centre Of Excellence sepantas mungkin untuk berbuka dan sekali lagi prestasi dan keupayaan Proton e.MAS 7 PHEV benar-benar diuji semaksimum mungkin. Dalam perjalanan pulang, dengan kombinasi kesesakan trafik di bandar, saya dapati tenaga elektrik dilihat dapat dicaj semula, namun petanda 0KM masih tidak berubah kerana ia berada dibawah nilai 25%. Nilai 0KM untuk petrol pula dilihat sama dengan 0% petrol, mungkin menandakan tiada lagi petrol yang ada, namun kereta mungkin masih boleh bergerak dengan tenaga elektrik berbaki sedikit. Syukur kami sempat sampai ke destinasi tanpa sebarang masalah.


Untuk perjalanan pulang, kereta kami telah dipandu sejauh 544.5 KM termasuk jarak yang dipandu dalam Pulau Langkawi pada hari sebelumnya. Jika dikira dari kadar kelajuan yang kami bawa, dan juga penggunaan pengecasan semula untuk satu tempoh yang lama, boleh dikatakan ini merupakan hasil penjimatan tenaga yang memberangsangkan.
Boleh disimpulkan sebagai kereta hibrid PHEV dengan harga termurah di pasaran, Proton e.MAS 7 PHEV bakal menawarkan teknologi dan manfaat kereta elektrik, dengan kecanggihannya yang tersendiri. Lebih baik lagi ia juga mungkin jawapan tepat kepada pengguna yang tidak mempunyai akses kepada pengecas, atau mempunyai agenda harian yang membuatkan perancangan pengecasan itu satu perkara yang membebankan. Ini kerana pengguna masih boleh mengisi petrol, dan menggunakannya untuk mengecas. Bahkan dengan adanya palam pengecasan, pengguna juga boleh menggunakan parkir yang dikhususkan untuk EV, dan mengecasnya sewaktu membeli belah atau berhibur.
Sehingga kini, telah banyak Proton e.MAS 7 dan juga Proton e.MAS 5 telah berada di jalanraya. Saya yakin dengan adanya Proton e.MAS 7 PHEV ini, akan turut menjadi pilihan rakyat yang inginkan teknologi elektrik, namun memerlukan keterjaminan jarak yang boleh ditawarkan menerusi tenaga petrol.


