
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata cadangan projek Kereta Api Trans Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan Indonesia bakal menjadi pemangkin ekonomi kepada wilayah Borneo jika ia menjadi kenyataan.
“Projek ini akan memberi impak untuk meningkatkan kesalinghubungan rakyat dengan rakyat dan dari segi ekonomi.
“Ia akan memudahkan perdagangan, menggalakkan pertumbuhan industri di kawasan sempadan dan meningkatkan pelancongan di wilayah Borneo,” katanya.
November lalu, Menteri Kerja Raya Persekutuan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Kementeriannya menerima cadangan awal mengenai projek itu.
SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more Nanta berkata idea pembinaan kereta api mega ini datang daripada Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan kewangan khusus untuk menjalankan kajian asas kebolehlaksanaan di laluan yang membabitkan bahagian Sarawak-Sabah.
Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei mengumumkan ia akan memulakan projek itu, yang dicadangkan untuk dilaksanakan dalam dua fasa membabitkan laluan sepanjang 1,620km.
Fasa pertama akan menghubungkan bandar-bandar dari Barat ke pantai Timur, bermula di Pontianak, Kalimantan Barat, dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.
Fasa kedua akan membabitkan Kalimantan Utara dan Timur yang menghubungkan laluan utama dengan Samarinda dan ke ibu negara baharu Indonesia, Nusantara.
Kerajaan Negeri akan membenarkan Kementerian Pengangkutan menjalankan kajian kebolehlaksanaan ke atas cadangan Projek Kereta Api Trans Borneo yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata ia merupakan projek rentas sempadan yang membabitkan rangkaian kereta api yang panjang.
Bagaimanapun, ia sedang menunggu pemberitahuan rasmi daripada Brunergy.
“Bagi Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kereta Api Negeri Sabah, keutamaan pada masa ini lebih tertumpu kepada memulihkan rangkaian kereta api sedia ada khususnya menghubungkan landasan dari Tanjung Aru, Sembulan ke Pelabuhan Sepanggar, di sini selain landasan yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.
“Bagi cadangan kereta api Trans Borneo…kami menerima cadangan daripada pihak berkepentingan dari China dan India tetapi ia hanya di peringkat awal.”
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, kakitangan Pejabat Parlimen Putatan dan media.
Secara umumnya, Shahelemy berkata kerajaan Negeri lebih melihat kepada konsep pembangunan landasan kereta api yang menghubungkan kawasan pantai Barat dan Timur negeri ini.
“Kami secara umumnya melihat kepada konsep rangkaian kereta api yang menghubungkan pantai barat dan pantai timur Sabah tetapi ini juga bergantung kepada kebolehlaksanaan dan kajian sosio-ekonomi,” katanya.
Rangkaian landasan sedia ada Sabah, yang berusia lebih satu abad, hanya kira-kira 130km, menghubungkan ibu negeri di pantai barat dengan pekan utama di selatan ke Beaufort dan berakhir di Tenom, yang terletak di pedalaman.
Sebelum ini, terdapat cadangan untuk melanjutkan rangkaian landasan sedia ada ke Tawau di pantai timur dan Kudat di utara, selain menghidupkan semula laluan ditutup yang menghubungkan Tenom dengan Melalap.
Brunergy berkata rangkaian kereta api laju pertama Borneo akan meliputi Kota Kinabalu, Kimanis/Papar, Beaufort, Sipitang, Lawas, Bangar, Limbang, Bukit Panggal, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kuching, Sambas, Singkawang, Mempawah dan Pontianak.
Laluan dicadangkan di bawah Fasa Dua termasuk Bukit Panggal, Long Seridan, Bekalalan, Long Bawan, Malinau, Tanjung Selor, landjungredeb, Pengadan, Lubuk Tutung, Bontang, Samarinda dan Balikpapan.
“TBR akan menjadi tuan rumah empat terminal, berfungsi sebagai hab utama untuk pengangkutan massa, bersama-sama 24 stesen yang merentangi seluruh pulau Borneo.
“Kedua-dua landasan akan bersambung di daerah Tutong di Brunei yang terletak di lokasi strategik, berfungsi sebagai hab pusat TBR,” kata syarikat itu.
Selain itu, ia menunjukkan bahawa jarak purata antara stesen ialah kira-kira 150km, dan kereta api berkelajuan tinggi itu dijangka mencapai kelajuan antara 300 hingga 350 kilometer sejam (km/j), dengan anggaran purata masa perjalanan antara stesen hanya 30 minit. .
“Pengenalan teknologi (kereta api peluru) ini ke rantau ini akan meningkatkan interaksi manusia ke tahap yang berbeza dan akan bertahan untuk 50 tahun akan datang atau lebih tanpa banyak persaingan dan perubahan teknologi,” tambah syarikat itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
