
Kota Kinabalu: Semua bentuk pemasangan iklan seperti sepanduk, banting, papan tanda premis atau papan arah di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) adalah tertakluk di bawah Kota Kinabalu Municipal Council (Advertisement) By-laws 1983.
Dalam kenyataan pada Khamis, DBKK menyatakan ia mengambil perhatian rungutan segelintir pihak berhubung penguatkuasaan terhadap pemasangan iklan tanpa permit di sekitar bandaraya.
“DBKK ingin memberi jaminan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah berpandukan peraturan sedia ada dan dilaksanakan secara telus, adil serta bertujuan untuk kebaikan bersama.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Undang-undang ini sudah lama diwarta sejak 42 tahun yang lalu dan masih berkuat kuasa hingga hari ini.
“Oleh itu, sebarang pemasangan iklan memerlukan kelulusan dan permit sah daripada DBKK,” menurut kenyataan itu.
DBKK ingin menekankan, walaupun peruntukan undang-undang tidak mewajibkan pemberian notis sebelum kompaun dikenakan, pihak DBKK lazimnya akan mengeluarkan notis peringatan terlebih dahulu kepada peniaga dan pemilik premis sebagai langkah awal pematuhan.
“Ini membuktikan bahawa pihak DBKK sentiasa berusaha mengambil pendekatan berhemah dan bersifat mendidik.
“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), DBKK hanya menjalankan tanggungjawab untuk memastikan peraturan dipatuhi oleh semua secara telus. “Langkah ini penting bagi mengekalkan persekitaran bandaraya yang tersusun, bersih dan bebas daripada lambakan iklan yang tidak terkawal demi kepentingan seluruh komuniti.”
DBKK juga telah mengambil beberapa inisiatif untuk membantu peniaga dalam memudahkan urusan mendapatkan lesen iklan.
Antaranya ialah penyebaran maklumat melalui media sosial rasmi, penerangan semasa proses permohonan lesen perniagaan, serta penyediaan talian khas untuk sebarang pertanyaan berkaitan pemasangan iklan.
“Pihak DBKK amat menghargai kerjasama dan sumbangan peniaga kepada pembangunan ekonomi bandaraya.
“Justeru itu, pihak DBKK menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama dengan memastikan sebarang pemasangan iklan dilakukan mengikut prosedur yang sah agar persekitaran Kota Kinabalu kekal harmoni, kemas dan teratur,” menurut kenyataan itu.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut ataupun permohonan rayuan berkaitan lesen iklan, sila hubungi Jabatan Pelesenan (Bahagian Iklan), DBKK di 088-521800.
