Pemasangan solar TNB bantu McDonald's jimat RM7 juta bagi penggunaan elektrik di 100 restoran pandu lalu
zulfadli
31/07/2023 - 12:08
KUALA LUMPUR 31 Julai - McDonald’s menjalin kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) untuk projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) 2.5 megawatt-peak (MWp) melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).
Kemudahan solar PV tersebut akan dipasang di 100 restoran Pandu-Lalu McDonald’s di seluruh negara secara berperingkat, dan dijangka siap pada Disember 2024.
Dengan pelaksanaan projek solar ini, McDonald’s Malaysia dijangka mampu mengurangkan kos penggunaan elektrik sebanyak RM7 juta untuk kesemua restoran ini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, kerjasama yang terjalin dengan TNB dan GSPARX sangat bermakna bagi pihaknya dalam melaksanakan rumusan hijau yang mampu mengurangkan penggunaan elektrik dan pengeluaran karbon.
Beliau berkata, kerjasama ini mengukuhkan lagi komitmen mereka ke arah ekosistem yang lebih lestari.
"Melangkah ke hadapan, matlamat kelestarian kami bakal membentuk asas dalam cara kami mengembangkan perniagaan, menyantuni komuniti dan meminimumkan kesan terhadap alam sekitar," katanya dalam kenyataan di sini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan McDonald’s Malaysia dan menyumbang kepakaran dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, kerjasama ini mengetengahkan komitmen TNB menyokong syarikat terkemuka seperti McDonald’s kearah mengurangkan penggunaan karbon dalam operasi mereka.
"Kami percaya kerjasama ini mampu mewujudkan pertumbuhan perniagaan yang signifikan untuk kedua-dua organisasi, pada masa sama mempercepatkan usaha ke arah peralihan tenaga," katanya dalam kenyataan media di sini.

Sejak Jun 2022, McDonald’s telah memulakan fasa awal bagi inisiatif kelestarian dengan kerjasama TNB, melibatkan pemasangan bumbung solar PV di beberapa restoran McDonald’s terpilih.
Dalam fasa awal, GSPARX yang merupakan anak syarikat TNB memasang sistem bumbung solar di 39 restoran McDonald’s di seluruh negara dengan kapasiti keseluruhan 1216.18 kilowatt-peak (kWp).
Ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan McDonald’s kearah inisiatif kelestarian jangka panjang.

Selain menandatangani SARE, McDonald’s juga akan bekerjasama dengan GSPARX untuk pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di restoran McDonald’s terpilih, sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menggalakkan penggunaan rumusan tenaga bersih dan menyokong mobiliti elektrik di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif kelestarian oleh McDonald’s Malaysia, layari www.mcdonalds.com.my. - DagangNews.com


