Pemasaran perlu strategi, bukan ikut trend

Business & Finance
15 Oct 2026 • 5:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pemasaran perlu strategi, bukan ikut trend

KUALA LUMPUR – Usahawan perlu memahami kehendak pengguna dan membina identiti tersendiri bagi memastikan produk mereka mampu bersaing dalam pasaran, bukannya sekadar mengikut trend yang sedang mendapat perhatian.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. Dr. Adam Richman berkata, strategi pemasaran perlu dirancang berdasarkan kajian pasaran serta keperluan pelanggan supaya pelaburan yang dibuat memberikan pulangan sewajarnya.

“Setiap perkara yang kita lakukan mesti mempunyai pulangan pelaburan (ROI). Sesebuah syarikat tanpa bajet yang ditetapkan untuk pemasaran, platform digital atau penjenamaan menunjukkan pengurusan yang tidak terancang,” katanya.

Menurutnya, penjenamaan bukan sekadar memperkenalkan produk kepada pengguna, sebaliknya memerlukan pemahaman terhadap psikologi pembeli dan perubahan tingkah laku pasaran.

Beliau berkata, usahawan juga perlu mengelakkan kecenderungan meniru produk pesaing tanpa meneliti keperluan sebenar pelanggan kerana tindakan itu boleh menyebabkan pasaran menjadi tepu dalam tempoh singkat.

“Apabila satu produk mendapat sambutan, ramai akan mengikutinya. Contohnya, produk sambal boleh menjadi terlalu banyak di pasaran dalam tempoh tiga hingga empat bulan apabila semakin ramai menghasilkan produk serupa,” katanya.

Adam berkata demikian pada program KNKV Branding & Marketing War 2027 bertemakan Build A Brand People Choose. Create Marketing That Gets You Noticed yang dirasmikan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail serta Pengasas dan Rakan Pengurusan Nik Safia & Co, Safia Ahmad Jahidi.

Dalam pada itu, Pengerusi KNKV Group, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata, penjenamaan yang berkesan perlu dibina berasaskan identiti serta nilai yang ingin diketengahkan kepada pengguna, bukan hanya bergantung pada logo atau reka bentuk pembungkusan.

Katanya, pemasaran juga berperanan membentuk persepsi pengguna terhadap sesuatu produk, manakala penggunaan platform digital dan Kecerdasan Buatan (AI) perlu disertai pertimbangan manusia bagi memastikan strategi yang dilaksanakan bersesuaian dengan sasaran pasaran.

Program itu turut membuka ruang kepada usahawan dan pemimpin korporat untuk membina rangkaian perniagaan serta meneroka peluang kerjasama, termasuk bagi membawa jenama tempatan ke pasaran antarabangsa.

Daripada hampir 1,000 pendaftaran, kira-kira 400 peserta dipilih untuk menyertai program berkenaan yang turut menyediakan ruang perbincangan dan pertemuan bersama bakal rakan strategik.

Sempena program itu turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan KNKV Group sebagai rakan penganjur bersama dan rakan strategik World Marketing Summit Malaysia 2026 bersama Kotler Impact Asia dan Annems Leadership Solution.

KNKV turut mengumumkan pelantikan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman sebagai penasihat syariah KNKV Group Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE

The post Pemasaran perlu strategi, bukan ikut trend appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved