
PERKEMBANGAN teknologi bukan sahaja mengubah cara manusia bekerja mahupun berkomunikasi, malah turut mempengaruhi kaedah pengurusan jenazah.
Jika selama ini pembakaran mayat secara tradisional menjadi pilihan utama di banyak negara, kini muncul satu inovasi baharu dikenali sebagai pembakaran mayat elektrik atau resomasi.
Syarikat pengeluar relau pembakaran dari Belanda, Crematech tampil dengan teknologi pembakaran tanpa api itu yang semakin mendapat perhatian kerana menawarkan proses lebih mesra alam, cekap dan selamat berbanding kaedah konvensional.
Berbeza dengan pembakaran mayat tradisional yang menggunakan api bersuhu tinggi, pembakaran mayat elektrik memanfaatkan gabungan air, haba dan larutan alkali untuk mempercepat proses penguraian semula jadi tubuh.
Menurut portal rasmi Crematech, dalam proses itu jenazah ditempatkan di dalam bekas keluli tahan karat yang diisi dengan air dan bahan alkali sebelum dikenakan haba serta tekanan tertentu.
Kemudian hasil akhirnya ialah cecair steril dan sisa mineral berwarna putih halus yang boleh diserahkan kepada keluarga untuk disimpan atau ditaburkan mengikut kehendak mereka.
“Salah satu faktor utama yang menjadikan teknologi ini semakin mendapat perhatian ialah impaknya yang lebih rendah terhadap alam sekitar.
“Kaedah pembakaran tradisional menghasilkan pelepasan karbon dioksida serta beberapa bahan pencemar lain ke atmosfera akibat penggunaan api pada suhu yang tinggi.
“Sebaliknya pembakaran mayat elektrik tidak melibatkan pembakaran terbuka, sekali gus mengurangkan pelepasan gas yang boleh menyumbang kepada pencemaran udara sekali gus orang ramai melihat teknologi ini sebagai alternatif yang lebih lestari dalam usaha mengurangkan kesan terhadap alam sekitar,” ujarnya.

Selain aspek kelestarian, pembakaran mayat elektrik juga menawarkan kelebihan dari segi kecekapan operasi kerana prosesnya menggunakan tenaga yang lebih rendah berbanding pembakaran tradisional.
Selain menghasilkan jumlah sisa yang lebih sedikit, penggunaan sumber yang efisien bukan sahaja membantu mengurangkan kos operasi, malah menyokong amalan pengurusan yang lebih mampan dalam jangka panjang.
“Dari sudut keselamatan pula, penggunaan haba dan tekanan dalam sistem tertutup membantu mensterilkan keseluruhan proses dan menjadikan pengendalian sisa selepas proses selesai lebih selamat kepada petugas.
“Teknologi ini juga membolehkan logam seperti implan perubatan atau bahan lain diasingkan dengan lebih mudah sebelum dilupuskan atau dikitar semula, sekali gus meningkatkan lagi kecekapan pengurusan jenazah,” katanya.
Selain itu, antara inovasi baharu yang dipertingkat dalam sistem pembakaran mayat elektrik ialah penggunaan teknologi hidrolisis alkali iaitu kaedah menggunakan air dan larutan alkali untuk mempercepat proses penguraian.
Berbanding teknik terdahulu, hidrolisis alkali dikatakan lebih berkesan kerana mampu menguraikan tubuh dengan lebih efisien, selain mengekalkan kandungan mineral tertentu yang terdapat pada tulang.
Malah, kemajuan dalam bidang automasi dan kecerdasan buatan (AI) turut membuka ruang kepada sistem pembakaran mayat elektrik yang lebih moden.
Penggunaan AI membolehkan proses dipantau secara automatik dengan kawalan suhu, tekanan dan tempoh operasi yang lebih tepat serta meningkatkan kecekapan selain mengurangkan risiko kesilapan manusia di samping memastikan setiap proses dijalankan mengikut piawaian keselamatan ditetapkan.
Walaupun semakin mendapat perhatian, pembakaran mayat elektrik masih berdepan beberapa salah tanggapan. Ada yang menganggap kaedah ini lebih mahal berbanding pembakaran tradisional.
Namun, penggunaan tenaga yang lebih rendah serta kecekapan proses sebenarnya berpotensi menjadikan kos operasinya lebih kompetitif dalam jangka panjang.
The post Pembakaran mayat elektrik alternatif lebih lestari appeared first on Kosmo Digital.

